najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah berpendapat dirinya belum layak untuk dinobatkan sebagai Biduan Negara walaupun sudah lima dekad berkecimpung dalam industri seni tanah air.
Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali, 65, berkata, dia menganggap pengiktirafan itu terlalu tinggi untuk diterima.
“Belum lagi rasanya, mungkin setahun dua lagi. Apapun setiap pengiktirafan yang diterima perlu melihat berdasarkan penglibatan dan pengorbanan kita dalam industri seni.
“Saya bersyukur kalua ada, namun tidak mengharapkan sangat kerana penghormatan itu terlalu tinggi untuk diterima,”katanya ketika ditemui pada sidang media Blue Serenade Charity Dinner Live With PDRM Orchestra di sini.
Ditanya mengenai pengiktirafan yang diterima Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara, Jamal tidak tahu menahu mengenai anugerah itu.
“Saya belum dapat maklumat lagi mengenai pengiktirafan itu. Saya tak tahu siapa yang memilih dan dipilih oleh siapa. Jadi saya tak boleh nak komen apa-apa,” katanya ringkas.
Terdahulu penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd