Jamal harap Sri Pahang kekal dalam Liga Super

Jamal harap Sri Pahang kekal dalam Liga Super

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: “Saya tidak sanggup melihat Sri Pahang FC tidak beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan,” tegas legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Dia yang pernah menggalas jawatan Naib PresidenĀ Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) berkata, penuh yakin sinar masih ada buat skuad Pantai Timur itu untuk terus beraksi di pentas kebangsaan musim depan.

Katanya, usaha memulihkan kedudukan kelab perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh barisan pengurusan dan masa masih ada untuk pasukan kembali pada landasan sebenar walaupun agak berliku.

“Saya percaya usaha memulihkan pasukan yang berhadapan kemelut kewangan sejak awal musim kini dilakukan oleh individu tertentu yang menjadi tulang belakang kelab, buktinya tunggakan gaji pemain sebelum ini telah diselesaikan.

“Selaku bekas pemain dan hari ini menjadi peminat setia Sri Pahang saya mendoakan muncul sinar baharu buat skuad Sri Pahang, diharap khabar angin pasukan Tok Gajah akan dibubarkan musim depan tidak menjadi kenyataan,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, rasa kecewa pastinya berlaku pada peminat setia Tok Gajah yang pasti tidak dapat menerima berita dianggap terburuk dalam kancah bola sepak negara.

Kegembiraan mengiringi pasukan Sri Pahang yang akan beraksi pada final Piala Malaysia 2024/2025 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 April ini seolah tidak bermakna sekiranya episod bersaing dalam Liga Super musim depan berkubur.

Jamal Nasir berkata, tidak dinafikan untuk menguruskan pasukan Sri Pahang memerlukan sumber kewangan yang banyak terutama bagi membayar gaji pemain, hanya kecekapan pengurusan kelab dapat mengatasi masalah berkenaan.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top