Jamal Abdillah bersyukur isteri tidak menghidap penyakit jantung

Jamal Abdillah bersyukur isteri tidak menghidap penyakit jantung

am@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Jamal Abdillah, 65, berasa lega dan bersyukur selepas doktor pakar di Institut Jantung Negara (IJN) mengesahkan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 28, tidak menghidap penyakit jantung seperti didakwa sebelum ini.

Kata Jamal, doktor pakar memberitahu perkara itu selepas isterinya menjalani pemeriksaan angiogram (masukkan tiub) ketika dirawat di IJN akibat alahan mengandung yang teruk dan muntah-muntah.

“Isteri mengalami alahan yang sangat teruk dan diberi ubat tahan muntah tetapi muntah semula hingga menyebabkan jantungnya bengkak serta mendapat serangan jantung hingga dimasukkan ke IJN.

“Alhamdulillah, selepas di rawat di IJN dan pemeriksaan angiogram, doktor mengesahkan isteri bebas dari sebarang penyakit berkaitan jantung dan sudah dibenarkan keluar dari IJN, lebih seminggu lalu untuk berehat di rumah.

“Keadaan isteri dan bayi dalam kandungan yang kini berusia tiga bulan juga berada dalam keadaan baik,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas keadaan isterinya lagi, Raja Pop itu berkata, doktor pakar juga menyarankan isterinya membuat pemeriksaan di IJN setiap bulan sehingga sampai saat melahirkan nanti.

“Isteri masih muntah lagi dan tubuhnya juga kurus kerana susah nak makan dan dia juga ada masalah gastrik.

“Saya juga terpaksa beli makanan yang dia mahu makan seperti coklat, buah-buahan dan roti canai.

“Pada masa sama, doktor pakar juga menyarankan isteri untuk membuat ‘check up’ dan bersalin di Hospital Kuala Lumpur untuk memudahkan pihak IJN melakukan pemantauan kesihatannya sehingga bersalin nanti,” katanya.

Ditanya jantina bayi pula, kata Jamal, dia berhasrat kali ini untuk mendapat anak perempuan untuk melengkapkan lagi keluarganya itu.

“Masih awal lagi untuk mengetahui jantina bayi kelima kami ini kerana isteri dijangka melahirkan pada Januari depan.

“Saya juga mohon doa dari semua peminat semoga isteri selamat melahirkan anak kami nanti,” katanya.

Terdahulu, Jamal memberitahu isterinya terpaksa dirawat di IJN akibat alahan mengandung yang teruk dan muntah-muntah. 

Untuk rekod, hasil perkongsian hidup dengan Zai Izzati pada 1 April 2017, mereka dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5; El Isaac Yamani, 4; Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani yang kini berusia setahun lebih.

Jamal juga memiliki dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd