Penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah mengaku akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya nama anaknya, Osama Yamani terus dipetik atas tuduhan mencuri kereta mewah jenis Ferrari seperti yang tular sebelum ini.
Katanya memetik laporan Harian Metro, Osama telah menghubungi dan menafikan dakwaan berkenaan isu tersebut.
“Osama mengadu hal kepada saya. Katanya babah, Maman (Osama) dah kena fitnah. Saya tanya pasal apa dan dijawabnya pasal isu curi kereta. Saya tanya adakah Maman (panggilan Osama) buat dan dia menafikannya,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Jamal, 65, berkata, dia juga tidak tahu mengenai isu kontroversi tersebut sekaligus menasihatkan agar anaknya itu bersabar.
“Osama memang rasa kecewa kerana nama bapanya disabitkan, orang kaitkan anak penyanyi Jamal Abdillah. Itu yang dia sedih. Sebab bapanya (saya) tak tahu apa-apa.
“Saya cuma minta dia bersabar dan jangan pedulikan perkara ini. Buat bodoh dulu, tengok apa perkembangan selanjutnya,” ulasnya.
Sementara itu, pelantun lagu Penghujung Rindu ini juga menegaskan bahawa jika perkara ini berlarutan dan namanya terus terpalit dengan dakwaan tersebut, maka dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan saman tehadap individu terbabit.
“Memang saya sepatutnya ambil tindakan mahkamah, saman pihak terbabit. Tengok kalau perkara ini berlarutan, nama saya disabitkan, ini anak saya, saya akan ambil tindakan mahkamah.
“Saya nasihatkan dia bersabar dan kita tengok dulu apa perkembangan seterusnya. Kalau teruk sangat, kita akan ambil tindakan,” jelasnya.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seorang anak penyanyi terkenal antara enam individu yang ditahan selepas disyaki mencuri kenderaan mewah jenis Ferrari pada 17 November lalu.
ARTIKEL BERKAITAN:Anak Penyanyi Tempatan Antara 6 Individu Ditahan Curi Kereta Ferrari
ARTIKEL BERKAITAN:Individu Wanita Dedah Jadi Skandal Penyanyi Terkenal?
ARTIKEL BERKAITAN:Pelawak Berusia 40 Tahun Disyaki Rogol Gadis
Sumber: Harian Metro