Jalur Gemilang terbalik di jersi pemain tak sepatutnya berlaku

Jalur Gemilang terbalik di jersi pemain tak sepatutnya berlaku

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa agar atlet dan pengurus pasukan sentiasa peka terhadap isu membabitkan penggunaan Jalur Gemilang.

Kesalahan membabitkan bendera negara itu tidak seharusnya berlaku memandangkan ia adalah maruah negara.

Hannah berkata demikian ketika mengulas mengenai isu membabitkan pemain badminton perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, di Jelajah Dunia Akhir BWF apabila dia memakai baju yang memaparkan bendera Malaysia secara terbalik.

“Saya minta, semua atlet dan pengurus terutama mereka yang bergerak sendiri itu peka. Periksa betul-betul jersi sebelum keluar gelanggang.

“Sebabnya bila beraksi di gelanggang ia akan dilihat oleh penonton dalam dan luar negara,” katanya.

Justeru Hannah memaklumkan pihaknya akan merangka satu kod baharu berhubung etika pemakaian atlet yang membabitkan penggunaan Jalur Gemilang pada pakaian atlet.

“Saya akan minta MSN (Majlis Sukan Negara) untuk melihat bentuk tindakan yang boleh dikenakan untuk kesalahan seperti itu.

“Sebabnya ketika ini kita tak ada kod atau tatatertib yang boleh dipakai untuk isu ini. Saya akan minta MSN lihat apa yang boleh dilakukan bagi memastikan ia tidak berulang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Simposium Sukan Selamat Antarabangsa di sini hari ini.

Semalam, kemenangan Zii Jia dalam perlawanan pertama dibayangi kontroversi apabila dia memakai baju yang memaparkan bendera Malaysia secara terbalik.

Dalam perlawanan menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen itu, dapat dilihat dengan jelas di kaca televisyen Jalur Gemilang yang ditampal di bahagian kiri baju pemain di ranking lapan dunia itu ditampal dalam keadaan terbalik.

Susulan insiden itu, penaja jersi pemain berkenaan, Victor Malaysia mengeluarkan permohonan maaf dan akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top