Jalani ujian tempur

Jalani ujian tempur

norhayati@hmetro.com.my

BAGI memastikan pilihan tepat dibuatnya untuk memilih penyanyi dan pelakon, MK K-Clique sebagai hero drama BaraJiwa, pengarah, Osman Ali, 51, sanggup menguji kemampuan pelakon itu menerusi sesi latihan bertempur yang diadakannya.

Osman juga tidak menafikan wujud keraguan pada dirinya terhadap kemampuan lakonan MK, selain pembabitan anggota kumpulan K-Clique itu di saat akhir menggantikan seorang pelakon lain yang menarik diri.

“Ketika itu, saya ada tiga hari saja sebelum penggambaran BaraJiwa bermula. Jadi, disebabkan oleh penarikan diri pada saat akhir seorang ‘hero muda’ untuk drama ini, maka kita perlu dapatkan pengganti segera.

“Walaupun sebelum itu ada juga beberapa nama pelakon lelaki lain yang kita (produksi) dah pilih, tapi perubahan berlaku tiba-tiba. Jadi, saya risau juga pada mulanya sebab tak pernah lagi bekerja dengan MK.

“Malah, saya pun sebenarnya tak pernah nampak MK berlakon sebagai hero untuk drama genre aksi, tetapi nama dia yang dicadangkan oleh beberapa rakan kepada saya,” katanya ketika ditemui di majlis tayangan perdana drama BaraJiwa di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut Osman, dia bagaimanapun gembira dan bersyukur dapat bekerja dengan MK yang disifatkannya seorang amat disenangi dan mudah memberikan kerjasama ketika di set penggambaran drama BaraJiwa itu.

“Agak menarik sebenarnya dan rezeki kita (produksi) juga kerana MK ini mempunyai pengaruh kepada peminat lelaki, selain wanita. Jadi, saya buat keputusan untuk berjumpanya dan mengadakan satu sesi uji bakat lakonan dengannya.

“Saya juga lihat dia (MK) memang ada satu karakter yang asli dalam lakonannya dan nampak kesungguhannya untuk mencuba serta berusaha sebaik mungkin melakonkan watak diberi.

“Bagi membantu memantapkan watak dibawanya sebagai hero drama aksi, saya juga ada menghantar MK ke sesi latihan berlawan dan dia buat bersungguh-sungguh.

“Jadi, semasa dia tiba di set penggambaran BaraJiwa, MK memang saya boleh katakan seorang yang sangat mudah untuk bekerjasama dan menunjuk minatnya,” kata pengarah filem Ombak Rindu itu.

Ditanya juga pandangan terhadap bakat lakonan MK sebagai pelakon baharu, Osman berkata, dia betul-betul tidak menyangka pemuda asal Sabah itu mempunyai bakat besar dalam bidang seni lakon.

Selain MK, drama BaraJiwa yang mempunyai

lapan episod turut dibintangi pelakon lain seperti Josiah Hogan, Mawar Rashid, Fauzi Nawawi, Alicia Amin, Ady Mohammad, Talha Harith, Nina KSC dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top