keadaan sekolah yang kosong tanpa kehadiran guru dan dilaporkan sudah sebulan tidak hadir mengajar.
SUMATERA – Keluhan murid sekolah rendah mengenai ketidakhadiran guru-guru mendorong Jabatan Pendidikan Nias yang terletak di persisir Barat Sumatera, mengarahkan semua warga pendidik tinggal berhampiran kawasan sekolah.
Portal berita tempatan, detikSumut membongkarkan punca ketiadaan guru-guru itu disebabkan mereka perlu menempuh perjalanan sukar termasuklah berjalan kaki dan menyeberangi 13 sungai untuk sampai ke sekolah.
Lebih memeritkan, portal itu mendedahkan guru-guru terbabit perlu memakan masa selama dua jam untuk sampai ke sekolah.
Penularan video ketidakhadiran guru ke sekolah selama sebulan telah menyebabkan Jabatan Pendidikan Nias mengeluarkan arahan untuk guru tinggal di kawasan sekolah.
Justeru, Ketua Jabatan Pendidikan Nias, Kharisman Halawa menetapkan semua guru untuk tinggal berdekatan kawasan sekolah supaya tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid.
“Proses pengajaran perlu terus berjalan dan guru-guru wajib hadir mengajar.
“Namun saya faham situasi perjalanan ke sekolah yang sukar lebih-lebih lagi ketika musim hujan.
“Oleh itu, saya mewajibkan semua guru menetap di kawasan berhampiran sekolah,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan keadaan sekolah yang kosong tanpa kehadiran guru dan dilaporkan sudah sebulan tidak hadir mengajar.
Tidak lama selepas itu, Jabatan Pendidikan Nias segera mengambil tindakan bagi menyiasat perkara sebenar yang berlaku di sekolah tersebut.
Difahamkan, sekolah rendah yang terletak di kawasan pedalaman itu, mempunyai lima guru yang terdiri daripada dua guru Pegawai Pemerintah dengan Perjanjian Kerja (PPPK) dan tiga guru Pegawai Negeri Sipil (PNS).
Tambah Kharisman, pihaknya kini sedang berusaha untuk menyediakan laluan ke kawasan pedalaman bagi memudahkan masyarakat setempat mendapatkan perkhidmatan terutama pendidikan dan kesihatan.
“Pihak berkuasa Nias juga sedang berusaha untuk membuat jalan ke kampung terpencil kerana ketika ini masih ada 19 daerah yang belum mempunyai jalan berturap,” ujarnya.