Jalaluddin Hassan terkejut, sedia beri kerjasama kepada SPRM

Jalaluddin Hassan terkejut, sedia beri kerjasama kepada SPRM

KUALA LUMPUR: Pengacara dan pelakon, Datuk Jalaluddin Hassan, bersedia memberi kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam kes melibatkan sebuah syarikat perunding kewangan.

Sebagai duta syarikat perunding tersebut, Jalaluddin mengakui terkejut ketika dimaklumkan mengenai perkara tersebut, baru-baru ini.

“Saya hanya duta sahaja yang bertugas hasilkan video dan mempromosikan syarikat.

“Bila isu ini timbul, saya agak terkejut. Pihak syarikat itu ada berkata, sebagai duta tidak terkesan apa-apa.

“Setakat ini SPRM belum hubungi saya. Tetapi jika dihubungi, saya terbuka memberi kerjasama. Sudah tentu saya akan lakukan,” katanya.

Jalaluddin ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media jenama pakaian Bulan Bintang di sini, hari ini.

Tambah pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu lagi, tiada apa-apa yang mencurigakan sepanjang bekerjasama dengan syarikat tersebut sejak tahun lalu.

“Selama saya bekerjasama dengan mereka, tiada sebarang masalah. Semuanya baik-baik saja. Dari dahulu kewangan mereka okay sahaja dan tiada yang mencurigakan.

“Lebih-lebih lagi bila makin banyak pertambahan ahli. Kewangannya juga terurus.

Sementara itu, aktor veteran tersebut turut menafikan dakwaan kononnya menerima wang sehingga RM400,000 sebagai duta.

“Alangkah bertuahnya jika saya dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, apapun menafikan perkara itu.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” tambahnya.

Terdahulu, Datuk Jalaluddin Hassan disebut sebagai antara selebriti yang bakal dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan dalam operasi Ops Sky.

Ia merupakan usaha SPRM menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank.

Sebelum ini, Jalaluddin dipilih menjadi salah seorang duta syarikat perunding kewangan bersama angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain. -UTUSAN

Scroll to Top