JAIS sahkan artis ditangkap khalwat, tapi bukan Nadeera

JAIS sahkan artis ditangkap khalwat, tapi bukan Nadeera

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan kes tangkapan khalwat membabitkan seorang selebriti, pada Selasa namun, menafikan individu terbabit adalah penyanyi, Nadeera Zaini.

Pegawai Perhubungan Awam JAIS, Nur Syamira Md Suffri berkata, Nadeera bukan individu yang ditahan dalam kes khalwat itu.

“JAIS sahkan tangkapan (khalwat) berlaku semalam (Selasa), namun, tidak membabitkan Nadeera seperti didakwa,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Nur Syamira tidak memperincikan kes tangkapan khalwat terbabit.

Petang tadi, laman sembang kecoh apabila berita seorang penyanyi yang juga bekas peserta program realiti didakwa ditangkap khalwat bersama kekasih berstatus suami orang di rumah sewa mereka, kira-kira 2 petang Selasa.

Berikutan itu, timbul spekulasi penyanyi terbabit adalah Nadeera yang popular dengan lagu Bukan Lagi Kita.

Bagaimanapun, gosip itu ditepis pengurus Nadeera dikenali sebagai Acap yang mempertahankan penyanyi itu, selain menafikan Nadeera terbabit dengan aktiviti tidak bermoral.

Acap dilapor menjelaskan ketika tangkapan pihak berkuasa itu, Nadeera sibuk menjalani latihan menghadapi Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39 yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad ini. Pada AJL 39, Nadeera mempertaruhkan lagu popularnya, Bukan Lagi Kita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top