Jadikan kelapa sawit, getah dan koko rujukan untuk lonjak industri kenaf

Jadikan kelapa sawit, getah dan koko rujukan untuk lonjak industri kenaf

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Kerajaan akan menjadikan kelapa sawit, getah dan koko sebagai rujukan dalam usaha melonjak dan membangunkan tanaman serta industri kenaf di negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketiga-tiga komoditi itu terbukti berjaya menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeksport bahan berkenaan.

Beliau turut yakin industri kenaf dapat dibangunkan sekiranya mempunyai tanah yang mencukupi serta kilang memproses selain mempunyai sasaran produk untuk dikeluarkan.

“Sekiranya satu komoditi itu mahu berjaya, perlu ada ekosistem yang lengkap. Bagaimanapun kenaf masih belum dapat capai ke tahap itu. Masih banyak perkara yang perlu diteliti dalam usaha memajukan industri kenaf negara.

“Oleh itu, beberapa cadangan sudah saya kemukakan untuk melihat bagaimana kita mahu mengambil contoh kelapa sawit, getah dan koko. Bagaimana komoditi itu boleh jadi pengeksport kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika ini terdapat sejumlah 1,600 hektar tanaman kenaf di seluruh negara dan usaha mempromosi tanaman itu akan terus dilakukan bagi mengembangkan lagi industri kenaf.

“Sebagai galakan, saya cadangkan LKTN supaya ke Bangladesh, China dan Indonesia untuk melihat perkembangan industri kenaf di negara berkenaan.

“Menerusi kenaf, kita boleh buat macam-macam, namun perlu ada kemahiran yang betul,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top