mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Individu, kumpulan atau syarikat yang terbabit dalam penipuan perkhidmatan umrah akan diambil tindakan undang-undang yang tegas tanpa sebarang kompromi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata kerajaan tidak akan berdiam diri, sambil beliau menempelak tindakan pihak yang menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan sebagai perbuatan hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.
“Saya memberi amaran kepada mana-mana individu, kumpulan atau syarikat yang terlibat dalam penipuan perkhidmatan umrah supaya berhenti segera.
“Menjadikan ibadah suci sebagai alat untuk mengaut keuntungan adalah perbuatan yang hina, keji dan tidak akan terlepas daripada pembalasan dunia dan akhirat.
“Kerajaan tidak akan berdiam diri. Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan media berhubung penipuan perkhidmatan umrah yang membabitkan penggunaan wajah selebriti dan ahli keluarganya secara tidak sah dan tidak bermoral dalam bahan promosi.
Mohd Na’im berkata, perbuatan itu memperdaya ramai umat Islam yang berniat menunaikan ibadah umrah dengan ikhlas.
Sebelum ini selebriti popular, Neelofa meminta seorang lelaki berhenti menjalankan kegiatan penipuan perkhidmatan umrah dengan menggunakan wajah ibunya, Datin Noor Kartini Noor Mohammed dan adik, Ameera Khan secara berlebihan.
Neelofa dilaporkan berkata, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu terbabit selepas ibunya memaklumkan menerima pelbagai mesej yang mendakwa sudah menjadi mangsa penipuan di akaun media sosial miliknya.
Dalam pada itu, Mohd Na’im menggesa semua pengendali perkhidmatan umrah supaya sentiasa memelihara integriti, amanah dan tanggungjawab terhadap pelanggan berikutan keberkatan rezeki hanya hadir dari jalan yang halal dan bersih.
“Saya ingin merakamkan simpati dan solidariti kepada semua mangsa yang telah menjadi mangsa penipuan ini. Menipu dalam urusan ibadah adalah satu pengkhianatan besar terhadap agama, terhadap amanah umat Islam dan terhadap nilai kemanusiaan.
“Sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama saya ingin menyampaikan peringatan, nasihat serta amaran keras kepada semua pihak.
“Semak sebelum bayar. Agensi umrah perlu dipastikan berdaftar dan sah di sisi undang-undang dengan merujuk laman rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk pengesahan.
“Selain itu, umat Islam diingatkan supaya jangan tertipu dengan media sosial atau mudah percaya dengan gambar artis, testimoni atau video yang belum tentu sahih.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa memeriksa latar belakang syarikat dan perkhidmatan yang ditawarkan.
“Seterusnya mangsa atau saksi penipuan hendaklah segera membuat laporan kepada pihak polis dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu jangan membiarkan penipu terus bebas menipu orang lain,” katanya.
Beliau berkata, menipu atas nama agama adalah jenayah berat dan Allah SWT melarang sekeras-kerasnya perbuatan itu.
“Semoga Allah SWT memelihara kita daripada fitnah manusia yang zalim dan semoga semua mangsa diberikan pembelaan serta keadilan yang sewajarnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd