Jadikan aksi berdepan Stockport County sebagai pengajaran

Jadikan aksi berdepan Stockport County sebagai pengajaran

Pemain Leicester City (kiri) dan Stockpot County, saling berebut bola pada aksi pusingan kedua Piala Liga di Edgeley Park pada Rabu. – Foto jpg

BIARPUN berjaya menewaskan Stockport County 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Edgeley Park pada Rabu, namun ia dilihat sebagai antara pencapaian buruk Leicester City setakat ini.

Pengendali Leicester City, Brendan Rodger berkata, keputusan perlawanan berkenaan memberikan gambaran bahawa skuad The Foxes itu gagal menewaskan Stockport County dalam tempoh 90 minit perlawanan hingga diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Secara keseluruhannya, kami tidak beraksi dengan baik kali ini terutamanya di bahagian ‘final third’ dan membiarkan lawan menguasai bahagian berkenaan.

“Malah, pemain kami juga tidak mampu menyaingi kepantasan pemain lawan yang dilihat bersungguh-sungguh mengatur asakan bagi menjaringkan gol.

“Mujurlah mereka tidak berjaya menjaringkan gol dalam masa perlawanan sebenar dan kami berjaya memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol pada penentuan sepakan penalti,” katanya.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan dan menyaksikan keputusan perlawanan bakal ditentukan dengan penentuan sepakan penalti.

Sementara itu, pengendali Stockport County, Dave Challinor berkata, pihaknya menerima kekalahan berkenaan dengan hati terbuka.

Bagaimanapun katanya, kejayaan skuad kendaliannya itu untuk mengheret skuad daripada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hingga ke penentuan sepakan penalti dilihat sebagai satu ‘kejayaan’ yang agak istimewa.

“Kejayaan ‘mengikat’ pasukan dari saingan EPL merupakan satu pencapaian hebat daripada kami… malangnya kami tidak mencatatkan kejayaan pada perlawanan ini,” katanya.