Jackson bantu Chelsea benam West Ham

Jackson bantu Chelsea benam West Ham

London: Nicolas Jackson membantu Chelsea meraih kemenangan 3-0 ke atas West Ham apabila penyerang Senegal itu membalas kepercayaan pengurusnya dengan meledak dua gol penting di Stadium London sebentar tadi.

Jackson menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama sebelum Cole Palmer menambah gol ketiga Chelsea, yang juga kemenangan ketiga mereka dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah pengurus baharu Enzo Maresca.

Dua gol Jackson muncul pada waktu yang tepat, di mana dia dipilih sebagai penyerang utama oleh Maresca, meskipun Christopher Nkunku mempunyai impak besar dalam kemenangan menentang Bournemouth minggu lalu.

Walaupun Jackson menandatangani lanjutan kontrak awal September yang akan memastikannya kekal di Stamford Bridge hingga 2033, terdapat desakan agar Nkunku diletakkan dalam kesebelasan utama selepas penyerang Perancis itu menjaringkan gol ketika masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan 1-0 di Bournemouth.

Jackson menjaringkan 17 gol dalam musim pertamanya yang tidak konsisten bersama The Blues dan sering terlepas beberapa peluang besar.

Namun, pemain berusia 23 tahun itu menunjukkan prestasi cemerlang pada awal musim ini dengan empat gol dalam enam perlawanan dalam semua pertandingan.

Chelsea memenangi semua tiga perlawanan liga di tempat lawan musim ini, hanya mengalami satu kekalahan, iaitu kepada juara Manchester City.

Walaupun terdapat laporan mengenai perebutan kuasa antara pemilik bersama Chelsea, Todd Boehly dan Behdad Eghbali, Maresca, bekas pengurus Leicester yang menggantikan Mauricio Pochettino pada musim panas, memberikan impak yang kuat.

Permulaan buruk West Ham musim ini meletakkan pengurus baharu Julen Lopetegui di bawah tekanan, dengan bekas pengurus Sepanyol dan Real Madrid itu dihina oleh beberapa peminat yang kecewa sebelum wisel penamat.

West Ham hanya menang satu daripada lima perlawanan EPL mereka musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top