norhayati_nordin@hmetro.com.my
TEMPOH dua dekad berada dalam industri hiburan, bukanlah satu perkara mudah untuk kekal bertahan dan terus relevan.
Peka dengan pengaruh teknologi antara perkara penting yang harus disedari.
Bagi penyanyi Jaclyn Victor, 47, dia semakin matang dalam banyak perkara membabitkan karier seninya seiring masa berlalu dan pengalaman ditimba. Justeru, dia menyifatkan penghasilan album terbaharu, Glorious adalah yang terbaik pernah dibuat.
Apatah lagi, Jaclyn sanggup berhabis menggunakan wang sendiri mencecah ‘enam angka’ untuk pembikinan album itu di New York, Amerika Syarikat (US) dengan dibantu rakan lamanya yang menetap di sana.
“Saya merakamkan sembilan lagu dalam album Glorious ini yang memuatkan tujuh lagu bahasa Melayu dan dua lagu Inggeris pada tahun lalu di New York, hasil kerjasama dengan beberapa rakan baik.
“Kami kenal dah lama sebab mereka adalah orang Malaysia, tapi sekarang menetap dan bekerja di sana. Mereka (kawan-kawan) yang beri saya sokongan padu untuk hasilkan album Glorious sempena 20 tahun saya di dalam industri.
“Dari tahun 2004 bermula dengan juara Malaysian Idol sampai sekarang, saya tak sangka sudah dua dekad berada dalam industri. Ia adalah satu perjalanan yang panjang untuk saya kekal bertahan dan bukan perkara mudah.
“Banyak yang saya pelajari dengan pelbagai pengalaman untuk memastikan diri terus kekal relevan. Saya masuk pertandingan Gegar Vaganza 9 dan kemudian, All Stars Gegar Vaganza yang beri rezeki juara,” katanya.
Menurut ibu dua anak ini, dia berterima kasih kepada peminatnya yang setia menyokong sekali gus album Glorious adalah hadiah istimewa buat mereka dengan pemilihan lagu-lagu dimuatkan sangat sesuai.
“Kesemua lagu dalam album adalah pilihan saya sendiri sebab produk ini juga diterbitkan oleh syarikat saya, Lakefront Xperience. Jadi, saya sangat berpuas hati, rasa berbaloi dan ‘happy’ kerana dapat melakukan segalanya sendiri.
“Termasuklah mengeluarkan kewangan peribadi walaupun banyak jumlahnya sehingga mencecah ratusan ribu, tapi tidak mengapa. Saya fikir sudah tiba masanya untuk buat sendiri dan hasilnya juga berbaloi serta tidak mengecewakan,” katanya.
Ditanya tidakkah dia membuat permohonan geran Dana Kandungan Digital (DKD), Jaclyn berkata, dia ada mohon sekali saja tetapi tidak diluluskan dan terus mengambil inisiatif menggunakan kewangan sendiri.
“Saya terbang ke New York sebanyak tiga kali dalam proses menyiapkan album Glorious ini. Maklumlah, kena ikut jadual betul-betul sebab saya juga perlu uruskan dua anak yang bersekolah. Malah, saya berada kira-kira dua minggu di sana.
“Jadi, itulah antara cabarannya. Tapi, saya tak kisah sangat sebab berpuas hati dengan album ini. Bahkan, ketika mendengar semula nyanyian saya, tidak rasalah bingit dan sampai tak nak dengar macam lagu dalam album terdahulu.
“Dulu, kalau dengar lagu saya di radio, mesti tak mahu dengar sangat sebab saya rasa nyanyian macam teruk. Namun, untuk album Glorious ini, rasanya lain dan saya pula seronok nak minta kawan-kawan dengar lagu-lagu dimuatkan,” katanya.
Antara lagu dengan beberapa genre berbeza dalam album Glorious ialah Lepaskan Saja, Kejutkan Aku, Sesal Tak Bermakna, Glorious (antem Gemilang), Airmataku, Inilah Saatnya, Satu Harapan dan Racun.
Dah berani buat konsert
Seronok dan menyokong rakan penyanyi lain muncul dengan konsert, Jaclyn tidak menafikan dia mengambil masa lama untuk mengumpul keberanian diri bagi betul-betul sedia menghiburkan peminat.
Katanya, dia mendapat tawaran membuat konsert sudah lama, namun enggan terburu-buru memberi persetujuan kerana ketika itu berasa bimbang apakah ada penonton yang sanggup membeli tiket konsertnya.
“Saya suka tengok ramai rakan penyanyi lain yang sekarang ini muncul membuat konsert. Ia membawa impak yang bagus dalam industri kerana peminat-peminat juga sangat menyokong.
“Untuk itu, sekarang selepas 20 tahun barulah saya ada keberanian untuk muncul dengan konsert dan ‘showcase’ istimewa. Kalau dulu, saya memang ada perasaan takut jika tiket konsert itu tidak ada pembelinya.
“Sebab, saya selalu terfikir ada ke orang (penonton) nak datang tengok konsert saya? Malah, saya juga risau kalau nyanyian tidak bagus dan penonton rasa rugi pula beli tiket. Macam-macamlah yang difikirkan,” katanya.
Ujar Jaclyn, namun sekarang perasaannya semakin yakin dan bersedia untuk menjayakan konsert dan bersyukur masih mendapat peluang itu selain, perjalanan urusannya dipermudahkan dengan lancar.
Sempena pelancaran album Glorious itu, Jaclyn berpeluang mengadakan ‘showcase’ berbayar istimewa di Aurum Theatre The Exchange (TRX), baru-baru ini, selain pada April depan dia akan muncul di PJPAC, 1 Utama Petaling Jaya dengan harga tiket berpatutan.
© New Straits Times Press (M) Bhd