Izreen Azminda selamat lahirkan Andika Yusuf

Izreen Azminda selamat lahirkan Andika Yusuf

Kuala Lumpur: Pelakon Izreen Azminda memilih nama Andika Yusuf untuk anak keempatnya yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan pada 24 Julai lalu.

Kehadiran Andika Yusuf dengan berat 3.02 kilogram (kg) sekali gus menambah bilangan lelaki dalam rumah tangganya dengan pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude yang dibina pada 8 Ogos 2017. 

“Assalamualaikum semua, saya Andika Yusuf, lahir 24/7/24 dengan berat 3.02 kg. Saya boy tau!,” tulisnya di Instagram hari ini.

Pelakon drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ini turut memuat naik gambar Andika Yusuf di Instagram tetapi menutup bahagian muka dengan simbol cinta (love). 

Dalam pada itu, Izreen seakan mengharapkan kehadiran cahaya mata perempuan dalam keluarganya dan sempat berseloroh berkenaan perkara ini. 

“Yang mana auntie-auntie yang teka girl tu takpe…mama saya aminkan jer…insya Allah next ada rezeki lagi,” tulisnya lagi. 

Menerusi perkahwinan dengan Ude, Izreen dikurniakan dua anak iaitu Aaron Ibrahim, 5, dan Ali Idrees, 3 tahun. 

Manakala perkahwinan pertamanya dengan jurukamera, Muhammad Riza Baharuddin dikurniakan anak lelaki bernama Muhammad Adrian Umar yang kini berusia 10 tahun. 

 

© New Straits Times Press (M) Bhd