Izquierdo, Pessey takluk Kailas Penang Skyrace 2025

Izquierdo, Pessey takluk Kailas Penang Skyrace 2025

PELARI remaja Sepanyol Marcos Villamuera Izquierdo mencuri tumpuan di acara larian bukit Kailas Penang Skyrace apabila menjuarai saingan 30 kilometer (km) Pro Sky dan 10km Short Sky, manakala Iris Pessey dari Perancis pula gah mengungguli saingan 30km wanita di Bukit Bendera.

Acara yang termasuk dalam Siri Dunia Merrell Skyrunner menyaksikan Izquierdo menamatkan saingan dengan catatan masa 3 jam, 45 minit dan 22 saat (s) jauh mengatasi pencabar terdekatnya, Luvsansharav Natsagdorj dari Mongolia (4:00:24).

Selepas itu, atlet berusia 19 tahun itu langsung tidak menunjukkan tanda kepenatan apabila dia kembali pada keesokkan harinya untuk mendominasi acara 10km Short Sky pula.

Dia tiba di garis penamat dengan catatan 1:14:39, diikuti Benjamin Townsend dari Amerika Syarikat (1:19:51) dan Hiroyuki Kawachi dari Jepun (1:24:49).

Kejayaan itu menyaksikan Izquierdo juga dinobatkan sebagai juara peringkat bagi Siri Trofeo Esteban Olivero Bawah-23 yang dianjurkan buat kali pertamanya di Malaysia sebagai sebahagian daripada sirkit yang menampilkan 14 pusingan di seluruh dunia.

Meskipun pada awalnya bergelut dengan keadaan muka bumi dan cuaca tropika, Izquierdo berkata cabaran yang ditempuhinya itu telah menjadikannya seorang pelumba bukit yang lebih bagus.

“Segala-galanya berlangsung lancar untuk perlumbaan kali ini. Ia memang sukar, mungkin antara yang paling mencabar pernah saya sertai, terutamanya disebabkan oleh cuaca panas.

“Pada asalnya, saya hanya berniat untuk berlumba dalam acara 10km, tetapi saya merasakan diri ada peluang untuk melakar pencapaian yang lebih baik dalam perlumbaan ini. Jadi saya pun fikir, ‘kenapa tidak cuba sahaja?’ Ia juga latihan yang baik, khususnya untuk bahagian pinggul saya, kerana saya memang kurang gemar berlari dalam cuaca panas.

“Berlari di dalam hutan merupakan satu pengalaman yang unik. Saya jarang berlumba dalam keadaan seperti ini kerana terdapat banyak haiwan dan perkara yang kami tidak biasa hadapi. Namun ia tetap satu pengalaman yang hebat.

“Pemandangan matahari terbit sangat menakjubkan. Penyesuaian saya terhadap cuaca panas sejak kebelakangan ini juga terbukti berkesan, jadi mungkin itu peningkatan terbesar dalam latihan saya di sini,” katanya.

Lebih 1,200 pelari dari seluruh dunia menyertai kejohanan di ibu negeri Pulau Pinang itu bagi menguji diri mereka dengan cabaran pendakian teknikal di Bukit Bendera.

Dalam perlumbaan 30km Pro Sky kategori wanita pula menyaksikan penguasaan jaguh Perancis, Pessey dengan catatan masa 4:48:03 sekali gus memperbaiki pencapaian naib juaranya pada tahun lalu.

“Saya bermula dengan agak perlahan, tetapi sebaik saya sedar yang saya telah mendahului dengan jurang yang selesa pada pendakian awal, saya cuba mengerah diri untuk menambah kepantasan bagi melebarkan penguasaan itu,” katanya.

Siri Dunia Merrell Skyrunner tahun ini merangkumi 23 perlumbaan di seluruh dunia, dengan Malaysia menjadi salah satu daripada hanya empat negara Asia bersama-sama Jepun dan Korea Selatan yang disenaraikan dalam kalendar ini.

Scroll to Top