Isu URA: PM Anwar beri amaran ke pembangkang, minta tak ganggu usaha bela Melayu!

Isu URA: PM Anwar beri amaran ke pembangkang, minta tak ganggu usaha bela Melayu!

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membidas tindakan pembangkang yang mengancam untuk mengadakan himpunan membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dengan beri amaran kepada mereka.

PM Anwar beri amaran, jangan ganggu dengan buat himpunan

Memetik laporan dari Malaysiakini, Anwar yang berucap di majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Kuala Lumpur telah memberi amaran agar pembangkang tidak mengganggu rancangan kerajaan dalam membantu masyarakat Melayu di bandar.

“Saya nak beritahu mereka, jangan cabar kita kalau kita nak bela nasib orang miskin majoriti Melayu (dan) sebahagian kecil (orang) India dan Cina.
“Dan kamu nak ganggu…Kalau dia (pembangkang) nak buat himpunan, kita boleh buat himpunan satu stadium untuk pertahankan dasar membela orang Melayu ini,” katanya.

PM Anwar beri amaran ada pihak menentang URA

Anwar berkata demikian sebagai respons kepada pihak yang menentang URA, apabila ada yang mendakwa ia akan menyebabkan orang Melayu miskin terusir dari kawasan bandar.

Antara yang lantang membantah ialah Pemuda PAS, apabila menyuarakan hasrat untuk menggerakkan himpunan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri, menyifatkan cadangan undang-undang tersebut sebagai “penjajahan moden” dan mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka.

PM Anwar beri amaran

Artikel lain: PM Anwar ingatkan pemimpin jangan curi wang rakyat, simpan di rumah!

“Apa mereka pernah cadang untuk tolong Melayu?”

Tambah Anwar dalam ucapannya lagi, beliau menegaskan URA tidak akan menyebabkan orang Melayu terpinggir dalam apa jua bentuk dan menempelak ahli politik Melayu yang menentangnya sebagai “hilang pedoman” dan “menyesatkan”.

“(Mereka) yang menentang ini orang Melayu, atas nama parti Melayu, parti Islam.
“Apa mereka pernah cadang untuk tolong Melayu? Tidak ada. Ada mereka pernah cadang apa nak dilakukan untuk bela nasib Melayu miskin di bandar? Tak ada.
“Kita usulkan (URA). Kalau ada yang nak tegur, (sila) tegur. Nak beri pandangan tambahan, silakan.
“Tapi jangan khianati usaha kita,” tegasnya lagi.

Sebelum ini, kerajaan merancang untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) URA di Parlimen pada Jun atau Julai nanti.

Akta ini bertujuan menurunkan nilai ambang persetujuan pemilik bagi projek pembaharuan bandar, yang kini memerlukan resolusi sebulat suara di bawah Akta Hak Milik Strata.

Anwar sebelum ini menegaskan URA tidak akan memaksa pemilik hartanah menyerahkan rumah mereka atau mengubah komposisi etnik di kawasan kediaman.

Beliau juga memberi jaminan bahawa URA tidak akan mengandungi peruntukan yang boleh menyebabkan pemilik kehilangan hak milik hartanah mereka.

Namun, beberapa pihak seperti Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa URA adalah cara halus untuk menyingkirkan orang Melayu dan India miskin dari kawasan bandar.

Mereka berpendapat golongan tersebut tidak akan mampu membeli semula rumah yang telah dibangunkan semula, sekali gus menjejaskan masa depan masyarakat Melayu di bandar.

Sumber: Malaysiakini (Hariz Mohd)

Scroll to Top