Isu tanah punca kelewatan projek naik taraf jalan – Alexander Nanta Linggi

Isu tanah punca kelewatan projek naik taraf jalan – Alexander Nanta Linggi

am@hmetro.com.my

Penampang: Projek naik taraf Jalan Donggongon-Tambunan bernilai RM299.76 juta, di sini, mengalami kelewatan berikutan isu pengambilan tanah dan pengalihan utiliti yang belum selesai sejak ia dimulakan pada Oktober 2022.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek yang dijangka siap pada Oktober 2026 itu baru mencapai kemajuan 13.06 peratus setakat ini.

Katanya, kelewatan itu berpunca daripada proses pengambilan tanah dan pemindahan utiliti yang memakan masa panjang, membabitkan bayaran pampasan kira-kira RM70 juta terhadap 144 pemilik tanah dan struktur binaan di sepanjang jajaran projek.

“Projek ini ketinggalan dalam jadual dan sudah diberi lanjutan masa (EOT). Kita dapati masalah yang agak besar membabitkan pengambilan tanah.

“Bagaimanapun, kita sudah bincang langkah seterusnya dengan memanggil mesyuarat penyelarasan bersama Kementerian Ekonomi dan pihak yang berkaitan bagi menyelesaikan isu ini segera,” katanya pada sidang media sempena tinjauannya di projek terbabit, di sini, semalam.

Ia turut disertai Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury.

Alexander berkata, projek itu yang bermula dari Persimpangan Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) Penampang ke Persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting, di sini, bakal meningkatkan tahap perkhidmatan jalan (LOS) daripada LOS E kepada sekurang-kurangnya LOS C ketika waktu puncak.

Skop projek itu ialah menaik taraf Jalan Penampang Bypass dan Jalan Penampang – Tambunan dari ITCC ke Balai Polis Penampang daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 2.5 kilometer.

Katanya, ia turut merangkumi kerja menaik taraf jalan dari persimpangan Balai Polis Penampang ke persimpangan Jalan Datuk Panglima Banting daripada jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong sepanjang 1.6 kilometer dan menaik taraf Jalan Penampang Lama daripada jalan berkembar empat lorong kepada jalan berkembar enam lorong sepanjang 0.8 kilometer.

Selain itu, sebuah persimpangan bertingkat di Bulatan Sigah, Donggongon sepanjang 580 meter, termasuk dua kemudahan khas pusingan U di bawah struktur bertingkat, dua jambatan konkrit di Sungai Kibabaig sepanjang 30 meter, tiga pusingan U di dua lokasi strategik serta satu jejantas pejalan kaki turut dibina di bawah projek itu.

Sementara itu, mengulas isu peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan di Sabah, Alexander berkata pihaknya memahami perkara itu dan mengakui ia bukan saja dialami di negeri ini, malah turut berlaku di negeri lain.

“Isu penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh negara sebenarnya memerlukan RM4 bilion tetapi dalam setahun bajet kita hanya mencakupi 25 hingga 30 peratus daripada keperluan.

“Memang masalah ini berlaku di seluruh negara, bukan di Sabah saja dan kita sudah beberapa kali bincang memohon supaya bajet untuk penyelenggaraaan ini dipertingkatkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top