Isu PDI: Wisma Putra bincang dengan Duta Indonesia

Isu PDI: Wisma Putra bincang dengan Duta Indonesia

PUTRAJAYA: Kementerian Luar semalam mengadakan perbincangan susulan dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berhubung isu Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

Ia bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut ekoran ada pelbagai laporan media yang memetik beberapa kenyataan beliau baru-baru ini mengenai perkara tersebut.

“Perbincangan pertama sebenarnya sudah diadakan di Wisma Putra pada 16 Februari lalu dan persefahaman telah dicapai oleh kedua-dua pihak,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Duta republik berkenaan awal bulan ini dilaporkan mengeluh mengenai layanan buruk diterima pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia berbanding tiada kes sebegitu di Singapura.

Hermono mendakwa konon terdapat banyak insiden PDI di negara ini dipaksa bekerja teruk untuk majikan mereka selama bertahun-tahun tanpa ada dibayar gaji bulanan.

Justeru ujarnya, cadangan memorandum persefahaman (MoU) Malaysia dan Indonesia amat penting dimeterai bagi melindungi kebajikan amah selain sektor perladangan dan pembinaan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, perbincangan dengan Hermono berjaya mencapai pendekatan positif dan konstruktif dalam pengendalian isu pengambilan dan perlindungan PDI.

“Sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian atau agensi berkaitan kerana langkah sebegini perlu bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham masyarakat,” katanya.

Perbincangan tersebut jelas Wisma Putra turut menyentuh status rundingan MoU antara dua negara berjiran itu serta pendekatan dan hala tuju yang perlu diambil oleh kedua-dua pihak.

Pemeteraian MoU itu dijangka dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat demi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan terus diberi perhatian.

Perkara berkenaan tambah Wisma Putra, juga akan dititikberatkan dengan mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara rantau Asia Tenggara itu.

“Pendekatan membina dalam isu ini dapat memanfaatkan kedua-dua pihak dan seterusnya menyumbang peningkatan hubungan akrab serta komprehensif Malaysia-Indonesia,” katanya.

MoU itu sepatutnya ditandatangani di Bali, Indonesia awal bulan ini dengan kumpulan pertama projek perintis pengambilan sejumlah 10,000 orang PDI dibawa masuk sebelum sektor lain.

Difahamkan kelewatan pemeteraian MoU tersebut disebabkan beberapa tuntutan tambahan daripada pihak Indonesia mengenai masalah kebajikan dan kebimbangan risiko buruh paksa.

Ia dimeterai buat kali pertama di Bali pada 13 Mei 2006 diikuti Protokol Pindaan MoU PDI ditandatangani di Bandung pada 31 Mei 2011 yang sudah pun tamat pada 30 Mei 2016. –UTUSAN

 

Scroll to Top