Isu kesilapan paparan Jalur Gemilang: Tindakan selepas dapat laporan penuh KPM

Isu kesilapan paparan Jalur Gemilang: Tindakan selepas dapat laporan penuh KPM

SEPANG: Kerajaan akan mengambil tindakan bersesuaian selepas menerima laporan penuh berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diedarkan, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pihaknya telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim untuk menyediakan laporan lengkap mengenai isu itu.

“Apabila dapat laporan, kita akan ambil tindakan sesuai berdasarkan laporan itu.

“Saya dah minta Datuk Dr Aminuddin untuk bagi laporan penuh,” katanya ketika ditemui pada Sesi Meja Bulat Bersama Ketua Setiausaha Negara Berhubung Agenda Nasional Tadbir Urus Baik di sini, hari ini.

Mengulas lanjut isu itu, Shamsul berkata, beliau mahu semua pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan supaya lebih berhati-hati terutama dalam isu paparan Jalur Gemilang.

“Mestilah (kena hati-hati selepas ini). Apa sahaja yang kita nak keluarkan terutama untuk liputan media mesti kena periksa betul-betul dan teliti,” katanya.

Ditanya sama ada perlunya ada garis panduan bagi paparan Jalur Gemilang, Shamsul berkata, isunya adalah apabila mahu paparkan Jalur Gemilang, ia perlu reka dan dipaparkan dengan betul.

“Mesti faham semangat Jalur Gemilang itu sendiri. Masalahnya, kita tak faham semangat Jalur Gemilang itu sendiri,” katanya.

Katanya, sudah ada garis panduan rasmi dalam penggunaan Jalur Gemilang tapi kadang-kadang manusia tidak peka dan terlalu selesa sehingga berlaku kesilapan.

Ditanya sama ada peranan kecerdasan buatan (AI) itu masih boleh diguna pakai, Shamsul Azri berkata; “Sebenarnya, kenapa nak pakai AI? Kita pun ada bendera negara, buat sendirilah.

“Sebab kalau kita pakai ChatGPT pun, dia punya jalur (keadaan jalur) itu makin melebar, pun tak betul juga.
Sayangi bendera (Jalur Gemilang) anda, sayangi negara anda,” katanya.

Katanya, beliau juga mahu ‘pemeriksa terakhir’ dalam setiap paparan membabitkan dokumen kerajaan perlu diperiksa berkali-kali bagi mengelak kesilapan.

Terdahulu, tular gambar kesilapan pemaparan Jalur Gemilang yang dicetak dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 yang diedarkan, hari ini. – UTUSAN

Scroll to Top