Isu Kampung Sungai Baru, penduduk harap pembelaan sewajarnya

Isu Kampung Sungai Baru, penduduk harap pembelaan sewajarnya

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seramai 47 keluarga yang tinggal di Kampung Sungai Baru memohon pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung isu pampasan tanah milik mereka.

Ini selepas kemudahan utiliti mereka seperti air dipotong dua minggu lalu manakala elektrik pula dipotong semalam.

Salah seorang penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim, 38, berkata, disebabkan pemotongan elektrik itu, dia dan bayinya yang berusia empat bulan berpanas di kediamannya.

“Ada juga jiran tetangga seperti orang tua berpindah dengan segera disebabkan pemotongan elektrik itu dibuat secara drastik atau tiba-tiba.

“Sepatutnya (pemotongan utiliti) ini tak boleh sebab tak semua penduduk Kampung Sungai Baru ini bersetuju untuk meninggalkan tempat ini atau bersetuju dengan tawaran diberikan oleh pihak pemaju,” katanya selepas sidang media isu Kampung Sungai Baru-Dari Milik Sah Menjadi Setinggan di sini, hari ini.

Pada 13 Januari tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penangguhan projek pembangunan Kampung Sungai Baru dilakukan bagi membolehkan satu rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan dilaksanakan.

Keputusan itu diambil selepas penduduk terbabit meminta Anwar campur tangan setelah mereka diarah mengosongkan rumah sebelum 19 Januari 2023, 30 hari selepas notis pengusiran dilakukan.

Isu pengambilan Kampung Sungai Baru bermula sejak 2016 membabitkan 98 unit rumah teres dan lapan blok flat berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafidah yang juga seorang pempengaruh berkata, sekiranya permintaan yang dimahukan sepadan dengan pampasan diberikan, pihaknya yakin isu membabitkan Kampung Sungai Baru ini boleh diselesaikan

“Semua perkara boleh diselesaikan dengan perbincangan, bukan satu pihak sahaja. Mesti kena dengan situasi menang-menang. Dia (pemaju) dapat apa yang dia nak, kita pun dapat apa yang kita nak,” katanya.

Dia turut mempersoalkan nilai tawaran pampasan harga tanah yang diberikan berjumlah kira-kira RM450 setiap kaki persegi kepada pemilik kediaman flat dan teres di Kampung Sungai Baru.

“Belakang (rumah) kita ini berdekatan dengan KLCC (Menara Berkembar Petronas). Macam mana anda bayar RM450 kaki persegi untuk penduduk Kampung Sungai Baru sedangkan harga tawaran dibuat (penduduk) RM800-RM950 kaki persegi,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Sungai Baru, Hashimi Harun, 54, mendakwa pemotongan air dan elektrik yang dibuat kepada mereka itu tidak mempunyai perintah mahkamah.

Katanya, tindakan dilakukan itu juga tidak masuk akal kerana sewaktu kejadian semalam, terdapat warga emas dan bayi yang berusia empat bulan.

“Apabila bekalan elektrik dipotong, apa terjadi kepada bayi empat bulan yang tinggal di flat dan warga emas yang sakit serta uzur ini?

“Mereka tak ada tempat untuk pergi kerana masih lagi tinggal di kediaman mereka sama ada di flat atau rumah teres dalam keadaan tiada bekalan air dan elektrik,” katanya.

Dia juga menggesa agar mereka sebagai pemilik tanah agar diberikan pampasan rumah mampu milik bernilai RM250,000 hingga RM300,000 tanpa syarat di Kampung Sungai Baru.

Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad menggesa agar kerajaan mengambil tanggungjawab dan tindakan sewajarnya bagi mengatasi isu Kampung Sungai Baru ini.

Ini kerana katanya, nilai pampasan yang ditawarkan kepada penduduk berjumlah RM450 hingga RM600 kaki persegi disifatkannya sebagai tidak munasabah.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa kena bertanggungjawab dan campur tangan. Perkara ini tak betul serta tak adil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd