Isu Jalur Gemilang: 42 individu diambil keterangan

Isu Jalur Gemilang: 42 individu diambil keterangan

rnoraina@hmetro.com.my

Rawang: Seramai 42 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang diambil keterangan termasuk Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar itu semalam.

“Siasatan masih lagi berjalan dan setakat ini sebanyak 40 laporan polis sudah diterima.

“Seramai 42 orang saksi juga sudah diambil keterangan buat masa ini dan kemungkinan akan ada lagi individu yang akan dipanggil memberi keterangan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Balai Polis Bandar Country Homes di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap itu.

Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan dan dibawa ke pejabat untuk mengambil komputer serta barang berkaitan kes.

Pihak polis merakam keterangan mereka selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Akhbar berkenaan pada Selasa menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera itu tidak lengkap.

Insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top