Isu gaji jejas prestasi Kelantan Darul Naim FC

Isu gaji jejas prestasi Kelantan Darul Naim FC

KELANTAN Darul Naim FC terus bergelut di Liga Super dengan prestasi merosot, dipercayai berpunca daripada tunggakan gaji pemain serta ketiadaan latihan berkumpulan.

Penolong ketua jurulatihnya, Rezal Zambery Yahya, mengakui masalah kewangan itu memberi kesan besar terhadap moral dan prestasi pasukan Kijang Emas yang kini menghuni tangga tercorot liga.

Kekalahan 0-7 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu, yang merupakan kekalahan ke-18 musim ini, mencerminkan situasi kritikal yang dihadapi skuad Pantai Timur itu.

Menurut Rezal, ramai pemain mengalami kesulitan untuk menampung kos sara hidup kerana gaji tertunggak dalam tempoh lama.

“Ya, betul (isu gaji punca masalah). Kebanyakan pemain datang dari luar, jadi bila gaji tidak dibayar, mereka hadapi kesukaran untuk bayar sewa rumah dan keperluan lain.

“Kami faham keadaan ini dan semua pihak sedang berkorban. Pemain dan jurulatih tetap berusaha keras, sementara pengurusan juga cuba mencari jalan penyelesaian,” katanya selepas perlawanan.

Bagaimanapun, Rezal tetap menghargai usaha pihak pengurusan dalam menangani isu ini.

“Jurulatih dan pemain berharap pasukan dapat kembali berlatih seperti biasa, seperti pasukan Liga Super lain. Masalah gaji ini memaksa pemain pulang ke kampung halaman, menyebabkan kami hanya berkumpul sehari sebelum perlawanan.

“Kami tahu pengurusan sedang berusaha menyelesaikan perkara ini, cuma cepat atau lambat sahaja,” ujarnya.

Scroll to Top