Kerajaan Negeri Pahang memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mencabar ketegasan pihaknya dalam menangani isu ceroboh tanah haram yang semakin berleluasa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang terlibat.
Isu ceroboh tanah
Menurut beliau, usaha membanteras aktiviti tersebut akan dipertingkatkan menerusi kerjasama rapat bersama agensi penguatkuasaan bagi memantau, menguatkuasa serta melaksanakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tanah milik kerajaan tidak diceroboh sewenang-wenangnya dan kekal terpelihara demi kepentingan bersama.
“Saya ingin tegaskan di sini, Kerajaan Negeri Pahang tidak akan sesekali berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menceroboh tanah milik kerajaan secara haram.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencabuli kedaulatan dan maruah pentadbiran negeri ini,” katanya.
Artikel lain: Pemilik tak bayar cukai, Pahang lucut hak milik 1,082 lot tanah
Isu ceroboh tanah
Tambah beliau lagi, isu pencerobohan tanah milik kerajaan kini dianggap sebagai satu jenayah serius dan tidak lagi ditangani dengan hanya kompaun seperti sebelum ini.
Sejak tahun 2023, kerajaan telah mula mengambil langkah lebih tegas dengan membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan bagi memastikan setiap kawasan yang diceroboh secara haram dapat diambil semula dan dipulihkan sepenuhnya.
“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan, ugutan atau helah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sama ada individu mahu pun kumpulan.
“Kita akan pastikan bahawa tanah kerajaan dimanfaatkan untuk pembangunan negeri, demi kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, bukan untuk kepentingan segelintir yang tamak dan tidak bertanggungjawab,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy mendedahkan 23 operasi pemusnahan dijalankan membabitkan kawasan seluas 1,362 hektar sejak penubuhan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada 15 Oktober 2019.
Difahamkan juga, lima lagi operasi tambahan dirancang untuk dilaksanakan tahun ini.
Sumber: Malaysia Gazette (Syahira Yahya)