Isu ceroboh tanah di Raub, SPRM fokus elemen rasuah, tatakelola

Isu ceroboh tanah di Raub, SPRM fokus elemen rasuah, tatakelola

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan berhubung pencerobohan tanah di Raub, Pahang difokuskan kepada elemen rasuah dan tatakelola dilaksanakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan pejabat daerah di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya pernah menyiasat kes ceroboh tanah berkenaan pada 2021 dan siasatan terbaharu ini adalah kesinambungannya.

“Dulu kita pernah membuka kertas siasatan pada 2021 dan berhubung isu baru-baru ini, saya sudah mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan.

“Kita melihat kepada dua perkara iaitu membabitkan isu rasuah… bagaimana penerokaan haram itu boleh dilakukan dalam tempoh tertentu.

“Pperkara kedua berhubung isu tatakelola yang diamalkan di PTG dan pejabat daerah. Siasatan ini akan dijalankan secara menyeluruh oleh SPRM Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di World Trade Centre (WTC), di sini, hari ini.

Semalam, badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia Corruption Watch (MCW) mendakwa elemen kelalaian sistematik, pengabaian tanggungjawab atau perlindungan terancang oleh individu tertentu dalam kalangan pihak berkuasa adalah faktor pencerobohan hutan simpan secara besar-besaran di Pahang.

Presidennya, Jais Abdul Karim dilaporkan berkata, MCW menggesa SPRM membuka semula atau memperluas kertas siasatan terhadap pelbagai pihak termasuk pegawai kerajaan negeri, wakil rakyat, agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan yang disyaki bersekongkol, melindungi atau membenarkan penerokaan haram berlaku dalam tempoh panjang.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pencerobohan tanah menjadi musuh utama di negeri itu, dan bukan hanya dadah dan penjenayah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top