Isu Azam Baki: Lalitha beri keterangan di Bukit Aman

Isu Azam Baki: Lalitha beri keterangan di Bukit Aman

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Lalitha Kunaratnam hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis.

Ia dipercayai berkaitan penulisan artikel berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Lalitha berkata, beliau bersama peguamnya, Manjit Singh Dhillon bertemu dengan pegawai penyiasat untuk diambil keterangan berhubung kes itu jam 2.25 petang tadi.

“Hari ini saya dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Laporan polis dibuat oleh pegawai SPRM pada 7 Januari lalu dan saya menerima surat tuntutan (LOD) pada 6 Januari lalu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan jam 6.09 petang tadi.

Lalitha berkata, beliau diajukan 83 soalan dengan 15 muka surat keterangan dalam sesi yang mengambil masa kira-kira tiga jam setengah itu.

“Saya memberi kerjasama yang baik dengan menjawab semua soalan yang dikemukakan pegawai polis yang mengendalikan kes ini. Mereka amat profesional,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Lalitha dimaklumkan melalui panggilan telefon pada Isnin lalu untuk hadir ke Bukit Aman jam 2.30 petang ini.

Lalitha dilaporkan berkata, dia dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung dua artikelnya yang bertajuk Business ties among MACC leadership: How deep does it go?.

Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguam mewakilinya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Tuntutan saman fitnah itu berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal agensi berita, masing-masing pada 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.

Peguam cara, Megat Abdul Munir, dilaporkan berkata, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas bekas penyelidik C4 itu gagal memberi sebarang maklum balas terhadap LOD bertarikh 6 Januari lalu.

Azam sebelum ini memaklumkan, pihaknya akan mengemukakan saman terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya dan SPRM, selain bagi memastikan dakwaan tidak berasas itu tidak berulang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu sebelum ini didakwa memiliki lebih RM4 juta saham dan waran dalam dua syarikat tersenarai ketika menjadi Pengarah Siasatan SPRM antara 2015 dan 2016.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top