Isteri tunggu mesej sehingga tertidur, rupanya suami meninggal kena tayar ‘terbang’

Isteri tunggu mesej sehingga tertidur, rupanya suami meninggal kena tayar ‘terbang’

Seorang isteri tunggu mesej sehingga tertidur daripada suaminya berakhir apabila dimaklumkan lelaki itu maut dalam nahas pada tengah malam, Rabu.

Isteri kepada mangsa, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, iaitu Nur Izzaty Abd Jalil, 35 berkata suaminya dalam perjalanan pulang ke Johor susulan akan memulakan kerjanya semula di Singapura selepas bercuti lama sempena Tahun Baharu Cina.

“Arwah dari rumah kami di Rawang, Selangor dan bergerak pulang ke Johor dalam jam 10.30 malam Selasa. Selalunya dia ambil masa dalam dua jam setengah untuk sampai sana.
“Tapi dalam jam 2 pagi macam itu saya tunggu dia mesej, tidak ada. Jadi saya mesej tanya… abang dah sampai ke, tetapi tidak berjawab. Sementara menunggu itu sampai saya tertidur,” katanya.

Artikel lain:  Bapa penuntut cemerlang dedah arwah anak impi kerja di firma audit terbesar dunia

Isteri tunggu mesej sehingga tertidur

Tambah suri rumah itu, kira-kira jam 5 pagi bapa mentuanya datang ke rumahnya memaklumkan suaminya setiap minggu pulang ke Rawang terlibat kemalangan.

“Sebelum kejadian kami berkesempatan bercuti bersama sampai arwah tambah cuti dua hari iaitu Isnin dan Selasa yang mana sepatutnya dia pulang ke Johor pada hari Ahad.
“Tak tahulah, saya memang nampak dia sugul macam tak nak balik,” katanya lagi.

Menurutnya, allahyarham bekerja di Singapura sejak 2016 sebelum pulang ke negara ini susulan wabak Covid-19 dan bekerja semula di Kota Singa itu pada 2022 sehingga kini.

Difahamkan, Muhammad Taqiyyuddin parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang terlibat dalam kemalangan di kilometer 232.1 Utara- Selatan (PLUS) arah utara, di sini.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Buaya, Rawang Selangor selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Rembau.

Kemalangan pada jam 12.20 malam itu melibatkan sebuah motosikal jenis Honda CBR ditunggang mangsa, bas, lori muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux dan sebuah kereta BMW.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur sebelum bas itu melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, Toyota Hilux dan kereta BMW yang berada di belakang laluan sama iaitu lorong kanan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang bas tersebut.

“Selepas perlanggaran tersebut, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal mangsa yang sedang bergerak di lorong kecemasan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian (Norafidah Assan)

Scroll to Top