Isteri Pak Jabit berharap sumbangan mesin oksigen

Isteri Pak Jabit berharap sumbangan mesin oksigen

TEMERLOH – Isteri kepada pelakon watak Pak Jabit kini bergantung kepada mesin oksigen sejak dua bulan lalu berharap mendapatkan sumbangan bantuan mesin pernafasan.

Raja Maharani Raja Jaafar, 70, merupakan isteri kepada pelakon Allahyarham Abdul Kadir Abdul Manaf itu kini menangung penyakit paru-paru sejak Ogos tahun lalu.

Kini beliau bergantung kepada mesin oksigen yang disewa bulanan dengan harga RM320.

Difahamkan mesin tersebut berharga RM4,000 di pasaran merupakan satu-satunya alternatif perubatan yang disarankan bagi meredakan keadaan penyakit yang ditanggung Raja Maharani.

“Kini hanya bergantung kepada mesin oksigen untuk membantu pernafasan.

“Paling sukar bila pakai mesin ini masa tiba-tiba terputus bekalan elektrik, cepat-cepat anak bawa ke kampung sebelah ke rumah saudara-mara,” katanya.

Abdul Khalid Putera Abdul Kadir

Beliau kini dijaga oleh anak lelakinya, Abdul Khalid Putera Abdul Kadir, 33, bersama menantunya di Kampung Ranjau dekat Lanchang.

Manakala anak bongsunya, Abdul Khalid menjaga makan minum pakai ibunya selain sentiasa memantau penggunaan mesin yang membantu banyak ibunya.

Mengakui ibunya masih belum mendapat mana-mana bantuan sama ada dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Abdul Khalid bercadang untuk memohon bagi membantu ibunya pada masa akan datang.

“Emak mula sakit sejak Ogos dan guna mesin itu sejak Disember lalu sekurang-kurangnya 15 jam sehari perlu pakai mesin.

“Buat masa ini, kami adik-beradik menyewa mesin ini daripada farmasi RM320 sebulan dan kos pembelian mesin baharu dianggarkan kira-kira RM4,000.

“Bantuan lain dari segi keperluan susu khas untuk emak,” katanya.

Terdahulu Allahyarham Abdul Kadir meninggal dunia pada 7 September 2017 ekoran masalah jantung telah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Allahyarham Abdul Kadir atau dikenali Pak Jabit.

 

Pak Jabit juga dikenali Man Kadir Shamsi pernah membintangi filem Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah serta telefilem seperti Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel dan Rombongan Cik Kiah ke Kelana Jaya.

Pak Jabit tersohor menerusi lakonannya dalam siri filem-filem komedi arahan Allahyarham Mamat Khalid  pernah dinobatkan anugerah Cerita TV (Teleplay Terbaik) di Anugerah Sri Angkasa (TV) 1994 menerusi drama ‘Pengarah Terbaik Tahun Ini’. – MalaysiaGazette