Isteri Mengaku Bersalah Bersubahat Kes Rogol Sepupu

Isteri Mengaku Bersalah Bersubahat Kes Rogol Sepupu

Di Terengganu, seorang wanita tergamak bersubahat dengan suami dalam kejadian rogol melibatkan sepupunya sendiri.

Memetik laporan Harian Metro, ibu kepada tiga anak itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli hari ini.

Kes bersubahat dalam kejadian rogol

Foto: Zatul Iffah Zolkiply

Menurut pertuduhan, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Marang, Terengganu pada 8 hingga 9 Februari lalu antara jam 7.30 malam hingga 1 pagi.

Tertuduh didakwa bersubahat dengan suaminya yang berusia 25 tahun dalam perbuatan terkutuk itu dan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2)(c) kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.

Suami mengaku tidak bersalah

rogol

Di mahkamah sama, suami tertuduh yang bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol mangsa yang berumur 15 tahun enam bulan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kehadiran isterinya di tempat dan waktu yang sama. Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2)(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika didapati bersalah.

Selepas pengakuan bersalah dibuat, mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Dalam masa yang sama, mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara tertuduh lelaki pula tidak diberikan sebarang jaminan dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 23 Mac.


Scroll to Top