am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya berasa sangat sedih, tidak lalu makan dan tidak boleh tidur malam sehingga mengalami ‘mild depression’ (kemurungan ringan) sejak suami ditahan reman.
“Saya juga kurang sihat, sakit kepala sehingga berat badan pun turun sebanyak lima kilogram dalam tempoh 10 hari ini,” kata isteri pelakon dan pelawak Along Cham iaitu Afreena Suhaimi, 32, ketika diminta mengulas keadaan dirinya dan anak-anak ketika ini.
Afreena berkata, dia juga berasa seperti ‘lost’ (kehilangan) sejak Along ditahan reman kerana hubungan mereka sangat rapat walaupun baru lapan bulan berkahwin.
“Kami berdua bukan sekadar suami isteri tetapi seperti kawan baik. Kalau pergi beli bawang atau ‘laundry’ (dobi) pun dia akan teman saya. Dia adalah ‘my world’ (segalanya) bagi saya.
“Setiap kali saya pergi ‘out station’ dalam dan luar negara, dialah yang akan hantar dan ambil di lapangan terbang sebelum ini.
“Saya juga berasa sebak bila suami cakap dia sangat sayangkan saya dan tak pernah menyayangi wanita lain seperti mana dia sayang saya,” katanya kepada Harian Metro.
Bagaimanapun, kata Afreena yang mempunyai tiga anak dari perkahwinan terdahulu, dia perlu bangkit dan kuatkan dirinya demi anak-anak serta membantu Along supaya dapat segera dibebaskan.
“Saya bersyukur kerana keluarga terutama ayah memberi sokongan untuk saya berdepan dengan ujian ini.
“Along juga rapat dengan tiga anak saya dan saya juga terpaksa beritahu anak-anak, papa mereka mereka tidak ada di rumah kerana keluar bekerja.
“Pada masa sama, majikan saya juga memberi sokongan sepenuhnya jika saya memerlukan bantuan termasuk membenarkan untuk saya bekerja dari rumah,” katanya.
Ditanya harapannya pada sebutan kes Along pada 27 Januari depan, Afreena berkata, dia berharap suaminya dapat dibebaskan.
Terdahulu, Along atau nama sebenar, Muhammad Nizamuddin Ahmad, 41, didakwa dengan dua pertuduhan miliki ganja di dua mahkamah berasingan di sini, masing-masing membabitkan ganja seberat 58.23 gram (g) dan 2.07g.
Bagaimanapun, Along mengaku tidak bersalah bagi setiap pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, selebriti itu didakwa memiliki bahan disyaki dadah berbahaya jenis kanabis anggaran berat 58.23g di sebuah rumah dekat Cyberjaya pada 14 Disember lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd