Baitulmaqdis: Israel mengarahkan bekalan elektrik di Gaza dihentikan serta merta pada Ahad dalam usaha menekan Hamas supaya membebaskan tebusan.
Arahan itu dikeluarkan ketika mereka bersedia untuk rundingan baru mengenai gencatan senjatanya dengan pejuang Palestin.
Keputusan Israel dibuat seminggu selepas ia menyekat semua bekalan bantuan ke wilayah yang dilanda perang, satu langkah yang mengingatkan kepada peringkat awal perag bermula apabila Israel mengumumkan ‘kepungan’ ke atas Gaza.
Hamas menyifatkan pemotongan elektrik itu sebagai ‘pemerasan’, istilah yang turut digunakan selepas Israel menyekat bantuan itu.
Fasa awal gencatan senjata berakhir pada 1 Mac dan kedua-dua pihak berusaha mengelak daripada kembali berperang, walaupun berlaku keganasan sporadik termasuk serangan udara pada Ahad yang dikatakan menyasarkan pejuang Palestin.
Hamas sudah berulang kali menggesa supaya rundingan fasa kedua gencatan senjata dimulakan segera, untuk menamatkan perang secara kekal.
Namun, Israel berkata ia lebih suka melanjutkan fasa satu sehingga pertengahan April, dan menghentikan bantuan ke Gaza.
Pada hari Ahad, Israel mengarahkan pemotongan bekalan elektrik.
Menteri Tenaga Eli Cohen dalam satu kenyataan video berkata:
“Saya baru sahaja menandatangani arahan untuk menghentikan bekalan elektrik serta-merta ke Semenanjung Gaza.
“Kami akan menggunakan segala cara untuk membawa pulang tebusan dan memastikan Hamas tidak lagi berada di Gaza sehari selepas perang,” katanya.
Ahli Biro Politik Hamas, Izzat al-Rishq, menyifatkan langkah Israel sebagai ‘percubaan terdesak’ untuk menekan rakyat dan ia dilihat taktik pemerasan yang murah dan tidak boleh diterima.
Beberapa hari selepas perang meletus pada 7 Oktober 2023 selepas serangan Hamas, Israel memotong bekalan elektrik ke Gaza, dan memulihkannya pada pertengahan 2024.
Talian kuasa tunggal antara Israel dan Gaza membekalkan loji penyahgaraman utama, dan rakyat Gaza kini bergantung kepada panel solar dan penjana berkuasa bahan api untuk menghasilkan elektrik.
Beratus-ratus ribu rakyat Palestin di Gaza tinggal di dalam khemah, dengan suhu pada waktu malam kini diramalkan sekitar 12 darjah Celsius (54 Fahrenheit).
Wakil Hamas yang bertemu pengantara Mesir pada hujung minggu, menekankan keperluan mendesak untuk meneruskan penghantaran bantuan ‘tanpa sekatan atau syarat’, kata satu kenyataan Hamas.
“Kami menyeru pengantara di Mesir dan Qatar, serta penjamin dalam pentadbiran Amerika Syarika (AS), untuk memastikan pendudukan (Israel) mematuhi perjanjian… dan meneruskan fasa kedua mengikut syarat yang dipersetujui,” kata jurucakap Hazem Qassem kepada AFP.
Tuntutan utama Hamas untuk fasa kedua termasuk pertukaran tebusan dengan banduan, pengunduran sepenuhnya Israel dari Gaza, gencatan senjata kekal, pembukaan semula sempadan dan menarik balik sekatan, katanya.
Bekas presiden AS Joe Biden juga menggariskan fasa kedua membabitkan pembebasan tebusan yang masih hidup, penarikan semua tentera Israel yang tinggal di Gaza, dan penubuhan gencatan senjata kekal.
Selepas bertemu pengantara, seorang lagi jurucakap Hamas, Abdel Latif al-Qanoua, berkata penunjuk setakat ini ‘positif’.
Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata ia akan menghantar perwakilan ke Doha pada Isnin.
.
© New Straits Times Press (M) Bhd