am@hmetro.com.my
Putrajaya: Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menyambung keterangan berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi esok.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara berkenaan dan memaklumkan Ahli Parlimen Bera terbabit akan memberi keterangan pada 9 pagi.
Hari ini media melaporkan, Ismail Sabri tiba di Ibu Pejabat SPRM untuk memberi keterangan jam 9.46 pagi sebelum meninggalkan bangunan berkenaan selepas lebih lima jam memberi keterangan pada 3.13 petang.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, SPRM sudah merekodkan keterangan 36 individu dalam siasatan terhadap kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Menurut sumber, 32 saksi dan empat bekas pegawai Ismail Sabri yang ditahan sebelum ini sudah dirakam percakapan.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
© New Straits Times Press (M) Bhd