Islam dan sains: Keunikan otak manusia

Islam dan sains: Keunikan otak manusia

KESEMPURNAAN manusia yang diciptakan oleh Allah terletak pada akal fikiran. Manusia memiliki otak sebagai pusat kawalan kepada seluruh aktiviti yang dilaksanakan. Otak ialah satu organ penting dalam melengkapkan sebuah sistem saraf pusat yang berfungsi mengawal atur segenap tindak balas dan perjalanan sistem badan manusia. 

Akal sebagai satu alat rohaniah manusia yang dapat mengingat, menganalisis, menyimpulkan dan membezakan sesuatu antara haq dan batil. Dengan keupayaan akal, manusia akan memiliki akhlak dan tindak-tanduk yang terpandu serta dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T.

Seperti mana yang diungkapkan oleh Ibn Khaldun, seorang cendekiawan Islam, bahawa akal merupakan kelebihan yang diberikan Allah kepada hamba-Nya. Oleh sebab itu, letak duduk manusia lebih tinggi dan sempurna berbanding ciptaan Allah yang lain. Hal ini disebut dalam Surah al-Tin ayat 4 yang bermaksud:

Advertisement

 “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”

Al-Quran sebagai sumber rujukan lengkap dalam semua aspek kehidupan telah menyebut mengenai struktur dan fungsi otak secara menyeluruh, sebelum manusia menemui istilah lobus frontal (bahasa Inggeris: frontal lobe) dan pelbagai struktur otak yang lain seperti serebrum, serebelum, dan batang otak (bahasa Inggeris: brainstem). 

Allah S.W.T berfirman menerusi ayat 14 dan 15 Surah al-‘Alaq yang bermaksud: 

“Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)? Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka).”

Struktur anatomi otak yang cukup kompleks dilengkapi berjuta-juta sel saraf (neuron) menunjukkan keajaiban ciptaan Allah dengan pelbagai fungsi sesuai dengan peranan masing-masing yang dikoordinasi secara optimum mengikut aturan Pentadbir Yang Maha Agung. 

Keunikan otak untuk berperanan dalam mengendalikan perasaan, pendengaran, penglihatan dan pelbagai fungsi lain menunjukkan kemampuan akal yang boleh membawa manusia ke arah peningkatan keimanan kepada Allah dan kemajuan diri, bangsa dan negara dalam kelangsungan kehidupan di dunia.

NORKUMALA AWANG 
Felow, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, IKIM – HARAKAHDAILY 31/5/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100064392321114/posts/387507606738980/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

Scroll to Top