Ipswich: Penyerang Newcastle United, Alexander Isak, mencuri perhatian dengan hatrik hebat ketika pasukannya membelasah Ipswich Town 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris.
Dua daripada gol berkenaan boleh dianggap hadiah awal Krismas daripada pertahanan tuan rumah yang serba tidak menjadi.
“Kami bermain dengan jauh lebih baik sejak kebelakangan ini, dan ia mula terpancar dalam keputusan perlawanan. Hatrik ini sudah lama dinantikan untuk Newcastle, dan sebagai hatrik pertama saya di sini, saya sangat teruja,” kata Isak.
“Hanya menjaringkan gol sudah cukup untuk meningkatkan keyakinan saya dan membantu pasukan. Tidak kira satu, dua, atau tiga gol, yang penting adalah sumbangan kepada pasukan.”
Gabungan Isak dan Jacob Murphy mencetuskan mimpi ngeri buat Ipswich sepanjang babak pertama.
“Dia (Murphy) benar-benar banyak membantu, seorang pemain yang mementingkan pasukan. Saya gembira kerana dia juga mendapat penghargaan atas sumbangannya,” tambah Isak, mengakui peranan besar rakannya itu dalam kejayaan Newcastle.
Newcastle mendahului 3-0 sebelum rehat, dan tuan rumah kelihatan tidak mampu bangkit, mengalami kekalahan kesembilan dalam 17 perlawanan liga musim ini.
Kemenangan ini melonjakkan Newcastle dari tangga ke-12 ke kedudukan ketujuh dengan 26 mata.
Ipswich pula terus bergelut di tempat ke-18, kekal dengan 12 mata, dua di belakang Leicester City tetapi bermain lebih satu perlawanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd