JURULATIH berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyahut cabaran untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan sebaik bersetuju bersama Kelantan Red Warrior (KRW).
Irfan Bakti turut mengakui kegilaan penyokong bola sepak negeri itu juga menjadi pendorong kuat beliau menerima pelantikan selepas lebih 35 tahun berkecimpung dalam bidang kejurulatihan dan mengendalikan banyak pasukan bola sepak negara.
“Saya berbesar hati kerana dilantik menjadi ketua jurulatih KRW dan sebelum ini hanya sekali bersama pasukan Kelantan.
“Kedudukan Kelantan sekarang ini di bawah, jadi saya terima cabaran untuk cuba membawa balik di mana Kelantan sepatutnya berada kerana Kelantan ini sendiri ‘gila’ dalam bola sepak, sebelum JDT, Kelantan lebih dahulu menjadi pelopor aura penyokong bola sepak di negara ini,” katanya pada sidang akhbar Memperkenalkan Ketua Jurulatih KRW di sebuah hotel di Kota Bharu, pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan.
Irfan Bakti mengulas, situasi bola sepak Kelantan bukan lagi satu bahan uji kaji sebaliknya pihak pengurusan, pemain, penyokong perlu memainkan peranan sebaik mungkin bagi menaikkan kembali pasukan terbabit.
“Bola sepak Kelantan bukan lagi satu experiment dan perlu berusaha kembali ke kedudukan atas.
“Itu matlamat utama, memang bukan sesuatu yang mudah dan akan mengambil masa untuk dicapai,” katanya.
Dalam pemilihan pemain, Irfan Bakti menegaskan, beliau mengutamakan pemain-pemain berkualiti untuk berada dalam KRW bagi memastikan misi tercapai.
Katanya, dari sudut pembangunan pasukan, sebagai seorang bekas tentera yang bersara dengan pangkat Kapten, beliau amat mementingkan disiplin dan tentu tidak mahukan pemain yang sekadar menjadi ‘passenger’.
“Kami adakan perbincangan untuk pemilihan pemain, ada yang mungkin nak balik ke Kelantan, pentingnya sudah tentu mempunyai ciri ciri terbaik dan berkualiti, kita tak mahu passenger dalam pasukan.
“Sudah tentu juga kita nak juga seorang atau dua pemain yang pengalaman untuk ‘memimpin’ pasukan,” katanya.
Sebagai rekod pengendali kelahiran Perak berusia 74 tahun itu juga pernah menyarung jersi kebangsaan selain menjadi pemain pertahanan juga berpengalaman luas mengendalikan pasukan Liga Malaysia seperti Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Felda United dan Kuching City.
Antara trofi yang pernah diraih beliau dalam karier kejurulatihannya ialah Piala FA, Piala Sumbangsih dan naib juara Piala Malaysia.
Selain itu, Irfan Bakti juga pernah melatih skuad Malaysia Bawah 23 Tahun dan kelab Indonesia, Persipura Jayapura.