LONDON: Ireland secara rasmi menyertai kes genosid yang difailkan Selatan Afrika terhadap Israel, menurut pengumuman dibuat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Dalam kenyataan media ringkas, ICJ menyatakan bahawa Ireland telah menyertai negara-negara lain iaitu Nicaragua, Colombia, Mexico, Libya, Bolivia, Turkiye, Maldives, Chile, Sepanyol, dan Palestin dalam memohon untuk campur tangan dalam kes tersebut.
Afrika Selatan dilapor mengemukakan dokumen terperinci kepada ICJ yang mengandungi bukti forensik berhubung dakwaan jenayah genosid oleh negara haram itu di Gaza.
Langkah ini diambil sebagai usaha untuk memberi tekanan kepada masyarakat antarabangsa agar mengambil tindakan terhadap serangan yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin.
Menteri Luar Ireland, Micheal Martin mengumumkan bulan lalu bahawa mereka akan menyertai kes itu selepas mendapat kelulusan kerajaan untuk langkah itu di bawah Konvensyen Genosid.
Di bawah Perkara 63 Statut ICJ, terdapat ketetapan memberi hak kepada mana-mana negara yang terlibat dalam konvensyen sedang dipertimbangkan oleh Mahkamah untuk campur tangan atau menyertai prosiding tersebut.
Pada Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan permohonan memulakan prosiding terhadap Israel, mendakwa pelanggaran Konvensyen Genosid berhubung penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.
Hampir 46,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh sejak serangan 7 Oktober itu dan lebih 105,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel ke atas Gaza menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah sekatan berterusan yang telah menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan. – Anadolu / HARAKAHDAILY 10/1/2025