Manchester: Pengendali Bournemouth, Andoni Iraola, melahirkan rasa puas hati dengan kemenangan 3-0 pasukannya ke atas Manchester United di Old Trafford.
Kemenangan itu menyaksikan mereka melonjak ke tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), namun Iraola menegaskan masih terlalu awal untuk teruja dengan kedudukan berkenaan.
Dean Huijsen membuka tirai jaringan menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada babak pertama, sebelum Justin Kluivert menambah jaringan melalui sepakan penalti.
Antoine Semenyo kemudian memastikan kemenangan mutlak Bournemouth dengan gol ketiga dalam tempoh dua minit awal babak kedua, mencipta kemenangan 3-0 berturut-turut di gelanggang keramat United.
Selepas menamatkan saingan musim lalu di tangga ke-12 EPL, Bournemouth kini hanya tiga mata di belakang empat pasukan teratas dalam musim ketiga berturut-turut mereka di liga elit.
“Segala-galanya masih terlalu rapat,” kata Iraola.
“Kami menentang United, jika mereka menang, mereka boleh berada di atas kami. Dalam minggu berikutnya, kami pula mungkin di belakang mereka.
“Kemenangan ini penting, tetapi ia tidak mencukupi untuk kami terlalu yakin. Kami perlu terus mengumpul mata. Jadi, kami akan terus fokus minggu demi minggu, perlawanan demi perlawanan. Terlalu awal untuk terlalu menilai kedudukan carta liga sekarang.
“Saya menghargai 28 mata yang kami kumpul setakat ini. Pada musim Krismas, jumlah ini cukup baik,” katanya.
Bournemouth kini tidak tewas dalam lima perlawanan liga terakhir mereka, dan kemenangan 3-0 itu mencetuskan sambutan luar penyokong mereka.
Sorakan ‘It’s happening again’ bergema di Old Trafford, merujuk kepada keputusan sama yang diraih Bournemouth di tempat yang digelar ‘Theatre of Dreams’ musim lalu.
Namun, Iraola menegaskan kemenangan itu bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau turut memuji penjaga gol, Kepa Arrizabalaga, yang memastikan gawang pasukannya tidak dibolosi meskipun berdepan tujuh percubaan tepat dari United.
© New Straits Times Press (M) Bhd