KUALA LUMPUR: AGX Group Berhad (AGB) melancarkan prospektus Tawaran Awam Permulaan (IPO) dengan Saham Terbitan Awam sebanyak 96.5 juta bersempena dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).
Bercakap kepada media, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AGX Group Berhad, Datuk Ponnudorai A/L Periasamy berkata, Syarikat dijangka mengumpul kira-kira RM33.78 juta daripada terbitan Saham Terbitan Awam.
Menurut Ponnudorai, sebanyak RM16.44 juta akan digunakan untuk modal kerja dan RM8.70 juta akan digunakan untuk mengembangkan perniagaannya di Malaysia dan Korea Selatan.
“Baki hasil masing-masing sebanyak RM4.14 juta dan RM4.50 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian,” katanya selepas Majlis Pelancaran Prospektus AGX, di sini hari ini.
Selain itu, katanya AGX juga membuka tawaran jualan sebanyak 30 juta saham biasa sedia ada berharga RM0.35 sesaham biasa AGX dan dijangka mengumpul kira-kira RM10.50 juta.
Dalam pada itu, Ponnudorai berkata, AGX akan memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta bagi menubuhkan gudang dan pejabat baharu di tiga lokasi strategik.
“AGX akan menubuhkan gudang dan pejabat baharu itu di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor Bahru, Pulau Pinang, dan Busan, Korea Selatan,” katanya.
Ponnudorai berkata, inisiatif itu akan meningkatkan liputan, menyokong pergudangan dan perkhidmatan logistik pihak ketiga dan mengukuhkan kehadirannya dengan menyediakan perkhidmatan yang komprehensif kepada pelanggan. – UTUSAN