PENGENDALI Bayern Munich, Vincent Kompany, menyifatkan gergasi Serie A Itali, Inter Milan sebagai antara pasukan terkuat di Eropah menjelang pertembungan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena.
Malah, bekas pengendali Burnley itu turut menyatakan Inter bimbingan Simone Inzaghi, memiliki sikap dan pengalaman yang diperlukan untuk lebih menyerlah pentas lapan terbaik berkenaan.
“Kini mereka adalah salah satu pasukan terkuat di luar sana. Kami akan cuba menimbulkan masalah buat Inter. Ini kerana mereka adalah pasukan yang telah beraksi dengan sangat baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Mereka juga tahu bagaimana menguruskan semua fasa permainan dengan pendekatan yang berbeza dalam sebarang situasi.
“Malah mereka juga tahu bila untuk bertahan dan bila untuk menyerang,” kata Kompany mengenai Nerazzurri tersebut.
Bayern Munich akan berdepan Inter Milan dalam Liga Juara-Juara dan kedua-dua pasukan sedar betapa pentingnya perlawanan ini untuk musim masing-masing.
Inter dan Bayern kini mendahului carta liga domestik masing-masing, dan kedua-duanya antara pasukan yang paling digeruni dalam Liga Juara-Juara musim ini.
Sementara itu, Kompany enggan mengulas lanjut mengenai status Thomas Muller sama ada diturunkan sebagai pemain utama atau sebaliknya.
Pemain berusia 35 tahun itu dijangka memulakan perlawanan berikutan ketiadaan Jamal Musiala, sedang berdepan dengan isu kontrak yang berlarutan.
LIGA JUARA-JUARA
Suku Akhir Pertama
RABU (9 APRIL)
Bayern Munich lawan Inter Milan
(Allianz Arena, 3 pagi)
Arsenal lawan Real Madrid
(Stadium Emirates, 3 pagi)