Intel rancang buang lebih 20 peratus pekerja

Intel rancang buang lebih 20 peratus pekerja
Intel Corp dijangka memberhentikan lebih 20 peratus tenaga kerjanya dalam usaha menyusun semula operasi sekitar minggu ini. Foto Agensi

Intel Corp dijangka memberhentikan lebih 20 peratus tenaga kerjanya dalam usaha menyusun semula operasi sekitar minggu ini. Foto Agensi

CALIFORNIA – Intel Corp dijangka memberhentikan lebih 20 peratus tenaga kerjanya dalam usaha menyusun semula operasi dan mengurangkan lapisan pengurusan tidak produktif sekitar minggu ini.

Langkah pemberhentian itu merupakan sebahagian daripada strategi untuk mengembalikan tumpuan kepada budaya kerja berteraskan kejuruteraan sekali gus menghidupkan semula syarikat tersebut selepas beberapa tahun berdepan cabaran dan kelemahan pengurusan.

Tindakan pemberhentian kali ini dibuat susulan pengurangan tenaga kerja besar yang dilaksanakan pada Ogos tahun lalu.

Ketika itu, Intel mengumumkan akan menamatkan perkhidmatan 15 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerjanya sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Pat Gelsinger bagi mengembalikan semula kedudukan Intel sebagai peneraju dalam pengeluaran cip.

Namun, Gelsinger tidak berjaya meyakinkan lembaga pengarah syarikat yang berpandangan strategi tersebut tidak berkesan dan perubahan tidak berlaku dengan cukup pantas sehingga membawa kepada pemecatannya pada akhir tahun lalu.

Kini di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Lip-Bu Tan yang dilantik bulan lalu, Intel sedang merancang penstrukturan semula operasi pembuatan dan kecerdasan buatan (AI) sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan syarikat.

Langkah tersebut diambil susulan Intel kehilangan kedudukan pendahulu dalam pengeluaran cip kepada syarikat Taiwan selain ketinggalan memenuhi permintaan tinggi pasaran terhadap pemproses AI.

Susulan kelebihan yang diraih pesaing seperti Nvidia, Bu Tan turut merombak struktur kepimpinan syarikat itu dan melantik Ketua AI baharu pada minggu lalu.

Perancangan AI syarikat bagaimanapun masih belum jelas selepas cip Falcon Shores hanya digunakan untuk ujian dalaman, menjadikan Intel tiada produk utama yang kompetitif dalam pasaran AI.

Syarikat pengeluar cip itu dijadual mengumumkan keputusan kewangan suku pertama pada Khamis.

Laporan tersebut dijangka memberikan gambaran lebih jelas mengenai strategi pemulihan Bu Tan yang berdepan cabaran termasuk perang dagang Amerika Syarikat-China yang semakin memuncak serta ancaman tarif balas.

Syarikat yang berpusat di Santa Clara itu mempunyai 108,900 pekerja pada akhir tahun 2024. – Agensi

Scroll to Top