Inspirasi kisah benar tentang perpaduan dalam filem Kita Kan Sama

Inspirasi kisah benar tentang perpaduan dalam filem Kita Kan Sama

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, satu filem pendek berjudul Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar diterbitkan bagi menonjolkan semangat perpaduan masyarakat negara ini yang memiliki pelbagai kaum.

Penerbit filem itu, Said Saiful Fazli berkata, karya yang dipersembahkan itu dekat dengan dirinya kerana diadaptasi daripada kisah benar pengalaman peribadi yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni.

Beliau yang juga pemilik syarikat Saudagaar Asia mengakui telah menemui jati diri dan nilai persahabatan tanpa batas perbezaan kaum dan budaya.

“Kita Kan Sama membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan serta bukannya halangan.

“Filem ini menyoroti kehidupan Joe yang membesar dengan cara dan gaya hidup sebagai masyarakat Melayu. Namun, ketika empunya diri mengetahui asal-usulnya yang sebenar, lelaki tersebut berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya.

Filem ini menyoroti kehidupan Joe yang membesar dengan cara dan gaya hidup sebagai masyarakat Melayu.

“Realitinya dia berketurunan India telah memberi satu kejutan pada dirinya dan turut mempengaruhi hubungannya dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum,” katanya pada majlis tayangan perdana yang berlangsung semalam.

Turut hadir Pengarah Saudagaar Asia, Datuk Zafrul Rizal Mat iaitu syarikat jenama produk tub makanan ringan berasaskan coklat dan bijirin popular, Choco Albab.

Sementara itu, pengarah filem tersebut, Shafieq Hashim berkata, filem itu adalah usaha untuk memperlihatkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang penuh warna-warni.

“Melalui ‘Kita Kan Sama’, filem pendek ini diharap dapat menyampaikan bahawa persahabatan dan kasih sayang adalah unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dalam membentuk negara yang bersatu padu.

“Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Said Saiful Fazli.
Scroll to Top