hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Universiti Malaya (UM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan berhubung kejadian simbah cat yang berlaku di cawangan premis KK Mart dalam kawasan kampus universiti itu, semalam.
UM dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan sudah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“UM komited memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan. UM juga menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan perkara seperti itu tidak berulang.
“UM turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden berkenaan untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Hari ini media melaporkan, tiga saksi sudah dirakam percakapan setakat ini susulan insiden simbah cat di kedai serbaneka KK Mart cawangan UM di sini, semalam yang terpalit kontroversi kerana menjual sandwic ‘ham & cheese’.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dilaporkan berkata, usaha sedang giat dilakukan bagi mengesan pelaku.
© New Straits Times Press (M) Bhd