am@hmetro.com.my
Shah Alam: Perkembangan berhubung insiden serangan asid membabitkan pemain bola sepak terkenal, Faisal Halim dijangka akan dibangkitkan semula pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula 18 Februari ini.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi berkata, usul berkenaan pernah dibangkitkan dalam sidang DUN, November tahun lalu.
Katanya, terbaru pihaknya mendapat makluman daripada polis yang mana siasatan dilakukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, pada November tahun lalu
“Pasti ia akan dibangkitkan lagi (di DUN akan datang) dan kita di peringkat dewan negeri, tak boleh buat kenyataan di luar bidang tugas kita.
“Kita cuma berharap siasatan berhubung perkara ini tidak dihentikan.
“Kita yakin polis dah beri penjelasan dan komitmen mereka yang kes ini masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Restoran Burg & Go di sini, hari ini.
Media pada Januari lalu melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited meneruskan risikan dan siasatan berhubung kes simbahan asid yang menimpa Faisal Halim tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan kes tidak pernah ditutup dan usaha mengumpul maklumat baharu akan terus dilaksanakan.
“Kami menggunakan kaedah sama untuk menyelesaikan kes sensitif lain termasuk kes Faisal Halim.
“Walaupun tidak semua kes serupa, ada yang berjaya diselesaikan, sementara yang lain masih tertangguh.
“Saya berjanji kes ini tidak pernah ditutup. Kami akan terus menyiasat dengan harapan dapat memperoleh maklumat baharu,” katanya.
Pada 5 Mei tahun lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 27 tahun itu mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.
© New Straits Times Press (M) Bhd