Seramai 396 ketua isi rumah yang terjejas akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights bakal menerima bantuan sewa rumah bagi tiga bulan pertama daripada Kerajaan Negeri Selangor.
Menurut laporan Buletin TV3, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan bahawa semua penerima yang layak akan dipanggil pada Khamis ini bagi sesi taklimat dan penyerahan bantuan.

Foto: Harian Metro
“Khamis ini kita akan panggil semua penduduk (terbabit) dan mula menyerahkan sewa untuk tiga bulan pertama, 396 ketua isi rumah yang kita dapati layak untuk memohon sumbangan itu kita akan panggil.
“(Bayaran) akan dimasukkan ke akaun mereka secara terus sebab itu kira panggil mereka untuk bagi taklimat dan beri mereka dalam bentuk wang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama anatara KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Nestle di SACC, Seksyen 14 hari ini.
Amiruddin berkata, antara perkara penting dalam taklimat berkenaan adalah penerangan mengenai pembaikan rumah terjejas.
“Kita juga akan menerangkan kepada mereka bagaimanakah projek pembaikan (rumah) itu sebab ada tiga kategori yang telah kita putuskan.
“Nanti saya akan maklumkan selepas pembentangan kepada mereka mungkin Khamis ini, kita panggil mereka semua Khamis ini.
“Kita kena koordinasikan sebab lokasi berbeza iaitu satu di kawasan kampung dan satu lagi di kawasan taman… jadi pendekatan berbeza sebab itu untuk meneliti semula sebab itu kita perlu masa dalam seminggu hingga dua minggu,” ujarnya.
Kerajaan negeri juga telah menghantar cadangan pelan pembaikan rumah kepada pihak Kabinet dan kini menunggu keputusan lanjut mengenai pelaksanaan kerja-kerja pembaikan tersebut.
Untuk rekod, kejadian kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu telah memusnahkan sepenuhnya 81 buah rumah dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 lagi mengalami kerosakan separa.
Sebanyak 57 rumah turut terkesan tanpa terbakar, sementara 218 kediaman lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kerosakan, termasuk di kawasan Kampung Tengah, Puchong.
Sumber: Buletin TV3