Insiden pelancong yang cedera akibat tanduk rusa jantan di Taman Nara, tempat terkenal dengan rusa yang berkeliaran bebas, telah meningkat baru-baru ini, mendorong pihak berkuasa Jepun untuk mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati. Gambar hiasan
NARA – Insiden pelancong yang cedera akibat tanduk rusa jantan di Taman Nara, tempat terkenal dengan rusa yang berkeliaran bebas, telah meningkat baru-baru ini, mendorong pihak berkuasa Jepun untuk mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati, menurut Jiji Press.
Jumlah mangsa di taman yang terletak di bandar Nara, ibu kota wilayah yang sama berjumlah 35 orang pada September, berbanding hanya lima orang pada tahun sebelumnya.
Rusa jantan cenderung menjadi lebih agresif semasa musim mengawan pada musim luruh, dan satu insiden maut berlaku bulan lepas di Wilayah Kyoto yang berdekatan.
Menurut kerajaan wilayah Nara, banyak kecederaan berlaku apabila pelancong menyentuh rusa selepas memberikan mereka keropok rusa, produk popular yang dijual di dalam taman itu.
Sepuluh orang dihantar ke hospital pada September, termasuk seorang yang mengalami pendarahan akibat tusukan sedalam beberapa sentimeter di paha.
Di bandar Fukuchiyama, Kyoto pada awal Oktober, seorang lelaki berusia 68 tahun ditemukan maut di kawasan sawah padi dengan pendarahan di dada.
Polis tempatan percaya mangsa telah ditusuk dengan tanduk rusa jantan liar. – Bernama/Jiji Press