Penyanyi dan pelakon, Ismail Izzani mengaku mengalami masalah lutut disebelah kaki kirinya selepas terlibat dalam insiden jatuh dari pentas utama ketika membuat persembahan di Konsert REMA Malaysia pada 21 Oktober lalu.
Susulan insiden berkenaan, Ismail Izzani atau nama penuhnya, Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, terpaksa ‘berhenti’ menari selama enam bulan akibat masalah lutut yang dikenali sebagai ‘Meniscus Tear’.
“Ada masalah pada bahagian lutut kiri saya yang dikenali sebagai ‘meniscus tear’, tapi saya belum sempat untuk buat pemeriksaan lanjut.
“Saya akan buat pemeriksaan selepas ini. Doktor pun nasihatkan saya tidak boleh menari untuk tempoh pemulihan kira-kira enam bulan.
“Dalam masa sama, saya kena buat beberapa senaman untuk kuatkan balik kaki,” ulasnya.
Ismail berkata demikian ketika ditemui pada sidang media The Impiano Experience 2.0 Ismail Izzani yang diadakan di Aquaria KLCC pada Isnin.
Menganggap insiden berkenaan tidak serius, pelantun lagu Luar Biasa itu bagaimanapun mengalami sakit kaki yang berpanjangan selepas sedar bahawa otot pada kaki kirinya lebih kecil berbanding kaki kanannya.
“Masa kejadian saya ingat tidak serius tetapi selepas tiga minggu, kaki saya masih sakit.
“Otot pada kaki kiri saya pula lebih kecil berbanding kaki kanan. Itu yang buat saya risau sebab kaki nak pakai lama.
“Saya pula banyak bergerak. Jadi, saya memang akan buat pemeriksaan pada masa akan datang,” katanya.