Insiden bendera Malaysia yang dipasang terbalik pada jersi pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia ketika beraksi di Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 mencuri tumpuan.
Malah, timbul spekulasi yang mengatakan tindakan tersebut sebagai melampau dek kerana tidak peka dengan sensitiviti negara.
Sedar dengan khilaf yang dilakukan, Syarikat peralatan sukan badminton terkemuka yang juga penaja Lee Zii Jia iaitu, Victor Malaysia akhirnya tampil mengemukakan permohonan maaf menerusi kenyataan yang dikeluarkan di platform media sosial rasmi mereka.
Victor Malaysia menjelaskan bahawa insiden itu dipandang serius dan tidak berniat untuk menimbulkan kontrovesi serta akan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan kesilapan itu tidak berulang.
“Kami dengan rendah hati memohon maaf kepada semua peminat badminton Malaysia dan Lee Zii Jia atas kesilapan yang tertera pada baju jersi ketika Jelajah Dunia Akhir BWF 2024, hari ini.
“Kesilapan ini tidak menggambarkan rasa hormat kami yang mendalam kami terhadap Malaysia, simbol kebangsaannya, atau kebanggaan dan kehormatan mewakili negara di persada antarabangsa.
“Bendera Malaysia melambangkan perpaduan dan identiti, dan kami amat kesal dengan sebarang rasa tidak hormat yang tidak disengajakan disebabkan oleh kesilapan ini.
“Sekali lagi, kami memohon maaf yang setulus hati dan menghargai pertimbangan anda,” katanya.
Terdahulu, ketika perlawanan berlangsung menyaksikan Lee Zii Jia menentang pemain Taiwan, Chou Tien Chen, jelas kelihatan bendera Jalur Gemilang yang tertera pada jersi di bahagian kirinya berada dalam keadaan terbalik.
Sekadar info, pemain yang berada pada kedudukan ranking lapan dunia itu merupakan pemain profesional dan pakaian jersinya tidak dibekalkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sumber: X, Berita Harian.