asmaini@mediaprima.com.my
Isu harga lantai belian padi kembali mendapat perhatian dengan kebimbangan lebih 200,000 pesawah di seluruh negara akan terus menanggung kerugian jika kadarnya masih kekal.
Harga lantai belian padi ketika ini iaitu RM1,300 per tan metrik dianggap sudah tidak relevan dengan keadaan ekonomi semasa, lebih-lebih lagi komuniti pesawah turut terkesan dengan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan tahun lalu.
Wartawan, FAIRUL ASMAINI MOHD PILUS bersama Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), ABDUL RASHID YOB mengupas isu yang dibangkitkan.
Mengapa PeSAWAH mahu harga lantai belian padi dinaikkan segera?
Pesawah di seluruh negara sudah tidak mampu lagi menanggung kerugian jika harga lantai belian padi masih RM1,300 per tan metrik.
Harga itu sudah tidak masuk akal dengan keadaan ekonomi semasa, apatah lagi negara jiran kita sudah lama menaikkan harga seperti Thailand dan Vietnam (RM3 lebih per tan metrik) manakala Indonesia, RM4 lebih bagi per tan metrik.
Ini kerana kos belian benih padi juga sudah naik dua kali ganda sejak 2023 dan harga terkini adalah RM58 bagi setiap 20 kilogram (kg) berbanding RM45 sebelum ini.
Selain itu, kos membajak dan menuai juga meningkat disebabkan penghapusan subsidi diesel sehingga memaksa pesawah menanggung kos mesin jentuai lebih tinggi yang dikenakan pemilik mesin kerana mereka (pemilik mesin) sehingga kini masih tidak menerima fleet card diesel.
Secara keseluruhan, berapa peratus kenaikan kos penghasilan padi ketika ini?
Dengan keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang sekarang, kos penghasilan padi sudah meningkat sebanyak 36 peratus.
Pengusaha sawah hari ini juga perlu menanggung keseluruhan kenaikan harga kos sebanyak 56 peratus selepas subsidi diesel dihapuskan.
Berkaitan penyasaran diesel dan fleet card, apa isu yang diperjuangkan PeSAWAH?
Ketika penyasaran diesel diumumkan Jun tahun lalu, kerajaan memaklumkan pengenalan fleet card yang akan turut diberikan kepada pengusaha sawah.
Apa yang menjadi masalah dan persoalannya hari ini, bila ia akan dilaksanakan?
Sekarang sudah masuk Februari 2025, di mana Fleet Card itu? Kerana sampai sekarang pesawah masih tidak memperolehnya.
Ia menyebabkan pengusaha jentera terpaksa membeli diesel dengan harga penuh dan caj kepada petani dengan harga lebih tinggi berbanding jika mendapat subsidi seperti sebelum ini.
Selain itu, insentif pembajakan tambahan RM100 per hektar (sebelum ini RM60) dan insentif penuaian, RM50 per hektar juga masih belum diterima petani, di mana silapnya?
PeSAWAH juga membantah Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman untuk dibawa ke sesi Parlimen kali ini, apa rasional di sebaliknya?
Pertama sekali, RUU berkenaan dibuat tanpa sebarang perundingan dengan petani mahupun pengusaha sawah dan keduanya kita bimbang jika dilaksanakan, ia akan menjejaskan hak petani pada masa depan.
RUU berkenaan juga akan menyekat kebebasan agro diversiti petani dan menyukarkan petani dalam pelbagai aspek. Kita sudah ada Akta Kawalan Padi dan Beras [Akta 522], mengapa perlu ada lagi RUU yang lain?
Selain itu, dari segi hukuman yang dicadangkan dalam RUU berkenaan juga agak berat dan perlu dipertimbangkan, seolah-olah terlalu besar.
Sepatutnya, RUU itu hanya untuk syarikat-syarikat besar bukannya petani yang menanam secara kecil-kecilan, kita sudah ada banyak masalah yang belum selesai mengapa perlu tambah masalah baharu?
Apa cadangan PeSAWAH dalam isu ini?
Kerajaan perlu mengadakan perbincangan meja bulat dan sesi libat urus dengan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran padi terutama pesawah bagi memahami masalah utama yang kami tanggung sehingga terpaksa menuntut kenaikan harga lantai belian padi.
Selain itu, kerajaan juga diminta supaya melakukan penstrukturan semula kementerian atau agensi yang terbabit supaya polisi dan dasar berkaitan yang sedia ada, dilaksanakan dengan sebaiknya.
Insentif-insentif yang dijanjikan juga perlu segera diberi kepada petani kerana semua itu dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang mereka hadapi.
Kebanyakan pesawah dan petani ini bergantung penuh kepada tanaman padi sebagai punca utama pendapatan keluarga mereka, jika berterusan menanggung kerugian mungkin satu hari nanti mereka sudah tidak mahu mengusahakan sawah.
Jika masalah ini masih berlarutan dan harga lantai belian padi tidak dinaikkan, tidak mustahil beras putih tempatan tidak ada lagi di pasaran pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd