Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya sedang mendapatkan pengesahan nama enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan berkaitanĀ sindiket penyeludupan rokok elektronik.
BACA: Op Airways: Sindiket Suap Penguat Kuasa Lebih RM6,000 Sehari
Beliau menjelaskan bahawa enam pegawai yang terlibat akan dipindahkan ke bahagian lain sehingga proses siasatan selesai sepenuhnya bagi memastikan keadilan dan ketelusan dalam menangani kes ini.
Tidak akan berkompromi!
Menerusi laporan daripada Berita Harian, Datuk Anis Rizana berkata, pihaknya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan semua agensi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menegaskan bahawa mereka sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan integriti dan tanggungjawab.
Nasihat saya, berkhidmatlah dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.
Sebagai agensi pemungut hasil negara, setiap warga JKDM bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah ini dengan berintegriti.-Katanya
Dalam pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan pegawai dan anggotanya, untuk menjauhi sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang negara serta menjaga integriti diri agar tidak mencemarkan nama baik jabatan yang mereka wakili.
Op Airways bongkar ketirisan hasil negara hampir RM8 juta
Sebelum ini, SPRM telah menyerbu pusat kargo KLIA menerusi Op Airways dan menemukan sejumlah 90 ribu unit vape bernilai RM 5.4 juta untuk dijual kepada pasaran tempatan.
Hasil operasi tersebut, 14 individu termasuk enam pegawai kastam ditahan kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti jenayah itu.