“Ini Bukan Hanya Untuk Saya, Tetapi…” – Neloofa Bersyukur Terima Anugerah Wanita Inspirasi Di The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival

“Ini Bukan Hanya Untuk Saya, Tetapi…” – Neloofa Bersyukur Terima Anugerah Wanita Inspirasi Di The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival

Usahawan dan selebriti terkenal, Neelofa, 36, menerima penghargaan apabila dianugerahkan gelaran Wanita Inspirasi dalam acara The Muslim World Women’s Summit: Voices HER Festival dan malam Anugerah Ibu Zain 2025.

Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang keusahawanan, pemerkasaan wanita, serta peranannya sebagai ikon Muslimah yang memberi inspirasi kepada ramai.

Dikenali bukan sahaja dalam industri hiburan tetapi juga sebagai seorang usahawan berjaya, Neelofa meraih anugerah ini hasil pencapaiannya dalam perniagaan fesyen patuh syariah serta peranannya dalam mempromosikan keseimbangan antara kerjaya dan nilai Islam.

Sebagai pengasas jenama Nunha, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor melihat anugerah ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi satu simbol kekuatan dan keteguhan wanita dalam dunia moden.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua wanita di luar sana yang berusaha menggapai impian mereka tanpa mengorbankan prinsip dan nilai yang dipegang. Saya berharap kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk berani mengejar cita-cita mereka.

“Kejayaan bukan hanya diukur dari segi pencapaian material, tetapi juga dari segi bagaimana kita memberi impak positif kepada masyarakat dan membawa perubahan yang lebih baik,” katanya.

Menurut bekas hos Nona TV3 ini, penghormatan ini didedikasikan buat wanita yang berani keluar dari zon selesa, bekerja keras tanpa mengenal erti putus asa, serta terus teguh dengan prinsip dan keimanan mereka.

“Semoga kita semua dapat terus menjadi inspirasi kepada satu sama lain dan membantu membentuk dunia yang lebih baik.

“Terima kasih kepada pihak penganjur atas penghargaan ini dan kepada semua yang sentiasa menyokong perjalanan saya. Moga Allah SWT terus memberkati langkah kita semua,” katanya.

Neelofa sebelum ini telah menerima pelbagai anugerah yang mengiktiraf kejayaannya dalam bidang perniagaan dan pengaruhnya dalam fesyen serta media sosial.

Isteri kepada pendakwah bebas Ustaz Haris Ismail ini juga aktif dalam kerja-kerja amal serta sering berkongsi pengalaman bagi menggalakkan pemerkasaan wanita dalam perniagaan dan kehidupan.

Penghormatan ini sekali lagi membuktikan Neelofa bukan sekadar seorang selebriti, tetapi juga wanita berpengaruh yang memberikan impak besar kepada masyarakat, khususnya dalam dunia Islam.

Scroll to Top